CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5526|Reply: 0

Bukan Muntah Darah

[Copy link]
Post time 5-2-2021 07:31 PM | Show all posts |Read mode
Bukan Muntah Darah


Gambar hiasan

Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut.


Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat.

Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

"Kenapa?" saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi.

Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

"Semuanya sudah habis, Tamar."

"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu.

Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.

Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan Datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja.

Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" tanya Datuk.

"Kau nampak aku sudah cukup tua?" dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara.

Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.

"Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya.

Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. Dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan Datuk dan Mat Upeh.

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka.

Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.


Gambar hiasan


TURUN

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.

Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung lengan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

"Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?"

Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"

"Tidak," jawab Khoja Lisut.

"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak.

Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut.

Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan Datuk jangan mendekatinya.

Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.

"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."

Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi.

Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.

"Kenapa tak boleh bantu dia?" ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin.

Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh Datuk.

"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur," tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat Datuk.

Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya.

Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari Datuk singgah ke pipi.

Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hitungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelangan Datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi.

Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah Datuk.

"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan Datuk yang dipegangnya.

Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.'

Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran Datuk itu.

"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang Datuk berikan kepada Haji Yatimi.

"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah Islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"

"Tapi..." sanggah Datuk.

"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu."

"Saya faham," Datuk seperti mengalah.

Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah.

Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.

"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."

"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” saya pintas cakap Haji Yatimi.

Saya jeling ke arah Datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.

"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."

"Saya faham," kata saya.

"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."

"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya.

Mat Upeh dan Datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.

Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.

"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada Datuk.

"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh sekali, bukan Datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.

"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.

"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan."

"Mungkin ada yang mahu ikut sama," tingkah Datuk.

"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan Allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.

"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan Allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.

"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."

"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh.

Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 05:55 PM GMT+8 , Processed in 0.508680 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list