|
"Kamu tidak melihat perkara sebegini setiap hari. Perkahwinan di gereja, tetapi pengapit beragama Islam."
Seorang jurufoto perkahwinan menggambarkan keterujaannya apabila sebuah majlis perkahwinan di Sarawak yang berlangsung di gereja disertai pengapit beragama Islam.
mStar melaporkan, majlis perkahwinan pasangan Sylvester Voon dan Esther Joseph Kim itu dilangsungkan di St Joseph Cathedral, Kuching, Sarawak pada 29 Disember lalu.
Menerusi gambar perkongsian Ariffin Husaini itu, pengantin wanita diapit enam gadis berbaju kurung merah gelap dan digandingkan dengan tudung berwarna merah jambu.
Menurut Ariffin, ia merupakan majlis perkahwinan paling unik pada 2018.
"Walaupun berbeza kaum dan agama, ia tidak langsung menghalang sahabat baik untuk turut sama memeriahkan hari bahagia rakan mereka," tulisnya di Facebook.
 Kredit foto: FB Ariffin Husaini
Sementara itu, dalam temu bual bersama The Star, jurufoto itu mendedahkan dia sudah berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 2012 selain menyifatkan perkahwinan berkenaan sangat istimewa buatnya.
"Saya harap dengan pelbagai ketengangan kaum kebelakangan ini, kita belajar untuk meletakkan perbezaan kita dan selami satu sama lain, hidup dengan harmoni," katanya. - CARI |