Rumah Penghulu Abu Seman di Kedah
Rumah Asal
Bandar raya Kuala Lumpur bukan destinasi asing bagi usahawan muda, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi, 25, kerana dia sering berulang-alik dari Kelantan atas urusan perniagaan. Kesibukan menguruskan perniagaan menyebabkan dia kesuntukan masa untuk meluangkan waktu bersiar-siar di ibu negara itu. Namun, ketika dalam perjalanan ke Hotel Royale Chulan, matanya tertancap pada sebuah rumah Melayu tradisional. Rumah Penghulu Abu Seman yang terletak di Jalan Stonor itu begitu berbeza daripada identiti landskap sekitarnya. Rumah itu merupakan kediaman bekas Ketua Desa, Abu Seman Nayan di Kampung Sungai Kechil, Bagan Samak, Kedah. Dibina sekitar pertengahan tahun 1920-an hingga awal 1930-an, kediaman Penghulu Abu Seman itu bukan sekadar menjadi tempat tinggal bersama ahli keluarga tetapi ia turut beroperasi sebagai pusat pentadbiran desa. Selepas pemergian Penghulu Abu Seman, anaknya, Ibrahim mewarisi jawatan ketua desa dan hak pemilikan rumah itu. Malangnya, rumah itu terbiar begitu sahaja selepas Ibrahim meninggal dunia kerana dia tidak mempunyai waris. Badan Warisan Malaysia (BWM) yang menemui rumah itu pada tahun 1996 telah melakukan inisiatif untuk memelihara warisan seni bina tersebut. Mereka memindahkan rumah itu ke tapak baharu di Kuala Lumpur dengan kerjasama Renong Berhad milik Tan Sri Halim Saad yang membiayai keseluruhan kos restorasinya. Usaha pemeliharaan seni bina warisan negara merupakan antara agenda yang giat dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memastikan kelangsungan identiti budaya serta bangsa di Malaysia. Situasi itu memberikan nilai tambah kepada industri pelancongan dalam mempromosikan negara sebagai lokasi yang kaya dengan nilai sejarah, kebudayaan dan adat resam. Faktor sejarah BWM merupakan antara organisasi yang giat melakukan usaha itu dan salah satu usaha mereka ialah pemuliharaan semula Rumah Penghulu Abu Seman. Rumah itu dipindahkan ke tapak baharu di Jalan Stonor di atas tanah yang berkeluasan hampir 0.2 hektar. Menurut Pengurus Komunikasi BWM, Melanie Anthony, Rumah Penghulu Abu Seman diselamatkan atas faktor sejarah dan keunikan seni binanya. “Rumah itu merupakan salah satu contoh binaan Melayu tradisional yang berkonsepkan gabungan seni bina dari utara tanah air iaitu Kedah, Perak dan Thailand serta sedikit elemen China. “Ia mempamerkan pelbagai pengaruh budaya dan agama. Malah, pemilik asal membina rumah itu dengan teliti dan mengambil kira faktor persekitaran demi keselesaan penghuni,” katanya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut menambah, menurut kajian yang dilakukan oleh BWM, Rumah Penghulu Abu Seman dibina seiring dengan pengaruhnya sebagai ketua desa. Hal itu ditakrifkan melalui rekaan seni bina rumah yang penuh dengan seni ukiran kayu untuk mempamerkan status kuasa pemiliknya. Usaha restorasi dan pemindahan itu mengekalkan kesemua rekaan seni bina Rumah Penghulu Abu Seman iaitu merangkumi setiap ukiran, keluasan dan bahagian-bahagian asal rumah Warna asalnya iaitu tona kayu coklat gelap dikekalkan. Bagi memastikan setiap bahagian rumah tahan lama, ia telah disapu dengan syelek. Selain itu, susun atur dalaman turut mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu yang menjadikan pengalaman berada di dalam rumah itu seperti berada sezaman dengan Penghulu Abu Seman. Struktur asal Proses restorasi dan pemindahan Rumah Penghulu Abu Seman mengambil masa hampir setahun setengah sebelum ia siap dibina semula pada 1997. Menurut Pengarah Eksekutif BWM, Elizabeth Cardosa, proses restorasi Rumah Penghulu Abu Seman menjalani proses yang teliti untuk membina semula struktur asalnya. “Pada peringkat awal restorasi, keadaan rumah itu dinilai terlebih dahulu bagi merekodkan kajian data dan mengenal pasti bahagian rumah yang masih boleh digunakan. “Ia juga memerlukan khidmat tenaga pakar daripada pelbagai bidang dalam melakar semua rekaan rumah, mengkaji struktur kayu dan nilai sejarah rumah itu,” ujarnya. Jelas beliau lagi, cabaran yang dihadapi oleh pihaknya dalam proses restorasi meliputi beberapa faktor seperti mengenal pasti rekaan yang telah musnah dan keperluan untuk bahan ganti seperti atap dan jenis kayu seperti cengal serta balau. Sepanjang 18 tahun Rumah Penghulu Abu Seman dibina semula, maklum balas yang diterima oleh masyarakat amat menggalakkan. Cardosa turut memberitahu, Rumah Penghulu Abu Seman telah menerima banyak kunjungan daripada pelancong, golongan pelajar dan arkitek yang menjadikan ia sebagai ilham untuk rekaan mereka. Rumah Penghulu Abu Seman juga pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Kehormat bagi Pemuliharaan Warisan Budaya Asia Pasifik UNESCO pada tahun 2000 dan Anugerah Merit dalam Anugerah Kecemerlangan ASEANTA pada 2003.
Rumah yang telah dipindahkan dan direstorasi
Artikel dari Kosmo Online
|