View: 1969|Reply: 1
|
Mengenal Akan Allah Subhanahu wa ta'ala (Kitab Ad-Darun Nafis)
[Copy link]
|
|
Edited by Kamarov at 20-1-2016 04:16 PM
Bismillahir rahmanir rahim, Tugas seorang hamba adalah mendekatkan diri kepada Tuhan, segala pujian hanya untuk-Nya.
Kepada Nabi Muhammad s.a.w jua tumpuan sekalian selawat dan salam. Kiranya di akhirat mendapat syafaatnya.
Kitab Ad-Darun Nafis adalah sebuah kitab ilmu Tassawuf yang bermakna ''Mutiara Yang Indah'' karangan Syeikh Muhammad Nafis Idris Al-Banjari(qs). Syeikh Muhammad Nafis ialah seorang sufi dan wali allah yang besar. Orang-orang sufi lebih mementingkan soal kerohanian, jiwa, hati.
Kitab ini mengandungi berbagai-bagai hikmat, Ilmu Haqiqat, Maqam golongan ahli tasawuf, orang-orang yang bermusyahadah kepada tuhan, Keesaan zat, sifat, asma' dan afa'l, dan juga kelebihan selawat Nabi(saw). Tegasnya, ia merupakan suatu jalan mendekati diri insan kepada Allah Taala. Apa yang ditulis di bawah adalah ringkasan daripada Kitab Ad-Darun Nafis.
Rata-rata Masyarakat Islam di Malaysia khususnya pada hari ini hanya belajar dan tahu ilmu fiqh/syariat(hukum-hakam) tetapi kurang tahu mengenai ilmu Tauhid. Ilmu Tauhid amat penting ini kerana perkara pertama yang di ajarkan nabi ialah mengTauhid kepada Allah. Jika orang Kristian kenal akan ''Tuhan''nya, Orang Yahudi kenal akan ''Tuhan''nya, Bagaimana kita? Bagaimana kita solat jika tidak tahu apa yang disembah?. Bagaimana jika ada orang bukan islam menanya kita apa dan siapa itu Allah.?
Sebelum memasuki bab ada beberapa perkara yang menghalang si salik sampai kepada Allah Taala juga terlalu banyak, Antaranya ialah:
A. Syirik Kahfi iaitu syirik yang tersembunyi, dengan mengatakan semua perbuatan makhluk itu adalah terbit daripada makhluk tanpa daripada Allah Taala. Sedangkan pada hakikatnya segala perbuatan itu semuanya terbit daripada Allah Taala. semua perbuatan makhluk itu seolah-olah alat perbuatan Allah Taala. Maha suci Allah Taala mengadakan sesuatu dengan alat.
B. Riya' ertinya menunjuk-nunjuk ibadatnya kepada orang lain atau ada udang disebalik batu selain daripada Allah Taala meskipun syurga.
C. Sum'ah ertinya memberitahu ibadatnya yang ikhlas kerana Allah Taala kepada orang lain untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.
D. Suqud oleh sebab wukuf maal ibadah ertinya terdinding dan terhenti kerana memandang ibadat yang dilakukannya itu daripada dirinya tanpa melihat bahawa perbuatanya itu adalah nikmat daripada Allah Taala.
E. Ujub ertinya memperbesarkan dan memperbanyakan ibadatnya, padahal ia lupa bahawa perbuatannya itu adalah nikmat daripada Allah Taala.
Tegasnya, si salik tidak akan terlepas daripada perkara-perkara yang berbahaya itu melainkan dengan syuhud dan memanding bahawa semua perbuatan itu terbit daripada Allah Taala.
BAB 1 : Tauhidul Afaal (Mengesakan Segala Perbuatan)
Bab ini menerangkan Tauhidul Afaal yang bermaksud mengesakan semua perbuatan Allah Taala. Ketahuilah wahai salik, anda tidak akan terlepas daripada perkara-perkara yang berbahaya itu melainkan dengan memandang dan syuhud bahawa semua perbuatan yang berlaku di alam ini semuanya terbit daripada Allah Taala. sama ada perbuatan itu baik pada pandangan zahir dan tidak pada hakikatnya seperti kufur dan maksiat.
Kaifiat memandang semua perbuatan daripada Allah Taala ialah umpama dipandang. Disyuhud, dan dilihat dengan mata kepada dan mata hati bahawa semua perbuatan itu terbit daripada Allah Taala. Mengatakan yang lain daripada Allah Taala itu adalah majazi(sandaran) dan bukan pada hakikat-Nya, Kerana pada hakikatnya semua perbuatan itu adalah terbit daripada Allah Taala sama ada perbuatan dirinya atau lain ataupun sama ada perbuatan mubasyarah atau tawallad. Maksud perbuatan mubasyarah di sini ialah berserta dengan kudrat yang baharu seperti bergerak pena pada tangan orang yang menulis. Manakala perbuatan tawallad itu terjadi daripada perbuatan mubasyarah seperti jatuh batu dari tangan orang yang melempar.
Dalil yang menunjukkan bahawa segala perbuatan daripada Allah Taala dan bukan daripada yang lain ialah seperti mana firman Allah dan Quran : Ertinya ''Allah Taala jua yang menjadikan kamu dan apa-apa kamu perbuat'' - Surah As-Saffat : 96
Menurut Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli(Rahimahullah) dalam syarah dalailil Khairati, ''Bahawa tidak akan terbit perbuatan dan perkataan, gerak dan diam, Pada ilmu Allah Taala iaitu Qadha dan Qadar-Nya. ''Firman Allah Taala yang Maha Tinggi : Ertinya ''Tiada engkau melempar ya Muhammad ketika engkau berusaha melempar, tetapi Allah Taala jua yang melempar ketika itu'' (Surah Al- Anfal : 17).
Apabila anda sentiasa mengekalkan syuhud dan pandangan anda bahawa semua perbuatan itu terbit daripada Allah Taala, dengan membiasakannya sedikit demi sedikit sehingga tahkik di dalam hati. Apabila sudah tahkik dengan keadaan demikian, maka jadilah anda ''Musyahadah''. Musyahadah ertinya berpandangan iaitu tiada bercampur antara pandangan zahir anda dengan pandangan batin, maka baharulah anda sampai kepada makam wahdatul afaal.
Wahdatul Afaal ertinya mengesakan Allah Taala kepada semua perbuatan, iaitu memfana'kan segala perbuatan makhluk sama ada perbuatan dirinya atau yang lain pada perbuatan Allah Taala. Dalam semua akuan dilihat hanya Allah yang melakukan sama ada perbuatan itu baik ataupun jahat. Tegasnya, semua perbuatan yang baik dan jahat itu adalah terbit daripada Allah Taala. Firman Allah Taala : Ertinya ''Katakanlah olehmu Ya Muhammad. Segala kebaikan dan kejahatan itu daripada Allah Taala'' (Surah An-Nisa:78)
Sesetengah orang A'rif Billah telah membuat beberapa contoh untuk mendapatkan fahaman yang lebih dekat. tetapi tidak pada hakikatnya, keadaan makhluk hamba itu umpama diperlakukan oleh dalang dalam berbagai-bagai bentuk kelakuan., sama seperti wayang gambar yang tidak mempunya perbuatan sendiri, begitulah hamba dengan Tuhan-Nya
Walaupun semua perbuatan itu terbit daripada Allah Taala, tetapi janganlah anda bersikap melampau terhadap syariat Muhammadiah. Wajiblah anda melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah Taala dan Rasulnya, dan wajiblah anda menjauhkan segala larangan-Nya. Janganlah sekali-kali anda mengiktikadkan gugur taklif syarak. Kalau anda berbuat demikian nescaya anda akan menjadi Kafir Zindik - Nauzu Billahimin Zalik.
Berpeganglah anda pada syariat Muhammadiah, dengan mengiktikadkan dan memandang mata hati bahawa segala perbuatan yang baik dan jahat itu semuanya terbit daripada Allah Taala. Pada ketika itu juga anda akan terlepas daripada syirik kahfi dan semua perkara yang berbahaya itu. Hal ini demikian kerana jika anda memandang diri anda mempunyai perbuatan selain Allah Taala, sudah tentu anda tidak terlepas menghadapi syirik khafi, meskinpun anda terlepas daripada syirik jali.
Syirik jali ertinya menduakan Allah Taala dan seumpanya. Namun tidak terlepas dan terkeluar daripada nama syirik seperti firman Allah dalam Al-Quran : Ertinya ''Kebanyakan mereka itu tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukan-Nya''(Yusuf : 106)
Keadaan ini berlaku kerana mereka memandang ada wujud yang lain daripada Allah Taala dan mengatakan perbuatan mereka terbit daripada diri mereka sendiri. Oleh sebab itu berkata Saidi Umar bin al- Faridh(ra) : '' Sekiranya terlintas dalam hatiku suatu kehendak yang lain daripada-Mu lantaran aku berasa khutir, walau lupa sekalipun nescaya aku hukumkan diriku dengan murtad.''
Dalam firman Allah Taala di atas tadi menerangkan orang-orang yang syirik kepada Allah yang dianggap telah terkeluar daripada golongan mukmin yang sebenar. Anda tidak dianggap mukmin yang mengikut jalan yang sebenar melainkan anda memandang bahawa tiada yang melakukan, tiada hidup dan tiada yang maujud dalam wujud ini hanyalah Allah Taala yang wujud dengan Sendiri.
Biasakanlah diri anda dengan keadaan demikian, kerana ia merupakan sifat yang amat mulia yang dapat menghampirkan diri anda pada masa yang akan datang iaitu akhirat. Oleh itu, anda memperoleh dua nikmat syurga seperti firman Allah Taala : ''Dua syurga untuk orang orang yang takut akan makam tuhannya.''(Ar-Rahman: 46)
Syurga yang pertama itu ialah syurga makrifat akan Allah Taala di dunia ini. Manakala syurga yang kedua itu ialah syurga yang sudah maklum yang tersebut dalam Quran yang mulia iaitu di akhirat yang akan datang.
Mengenal Akan Allah Subhanahu wa ta'ala (Kitab Ad-Darun Nafis) Bab 2
http://mforum.cari.com.my/forum. ... amp;fromuid=2184130
|
Agama Islam, Tauhid, Islam, Iman, Ehsan, Agama Islam, Islam, Iman, Agama Islam, Islam, Iman, Agama Islam, Islam, Iman
|
|
|
|
|
|
| |
|