Edited by wipers81 at 15-9-2015 04:12 PM
"Man, nah tengok anak kau ni." Mak Timah menghulur bayi yang sudah berbalut kain batik.
"Anak lelaki," kata Mak Timah sebaik melihat riak terpinga-pinga di wajah Sulaiman.
Sulaiman tidak tunggu lama. Anak yang memang telah lama dinanti, diazan di telinga kanan. Dia mahu anak itu membesar, menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama.
*****
"Hadi..." Sulaiman duduk di kerusi kosong sebelah anak tunggalnya.
"Ni kenapa termenung?" Bahu anak itu sudah ditepuk lembut. Sekejap masa berlalu. Anak tunggalnya itu kini sudah berumur 30 tahun. Jika masa boleh diputar kembali...
"Hadi terkenang arwah mak."
"Hadi, doa banyak-banyak kat mak. Abah pun rindu. Yalah, 30 tahun dia pergi."
"Hadi sedih abah. Tak pernah rasa kasih sayang mak tapi Hadi syukur sangat sebab ada abah." Tubir matanya sudah berair. Hanya mampu menatap wajah arwah emak di dalam potret selama ini.
"Dahlah Hadi. Tak elok sedih-sedih. Doakan mak, moga dia tenang kat sana."
"In Sha Allah abah. Hadi minta diridulu."
"Kerja banyak ke Hadi?"
"Macam biasalah abah. Kejap lagi Hadi balik. Nak pergi pantau sekejap."
Sulaiman menghantar anak tunggalnya itu dengan pandangan mata. Dia kini menetap bersama anak tunggal di kuaters yang disediakan di hospital. Bertugas sebagai seorang doktor, menuntut Hadi menjadil elaki matang sebelum usia. Itu cita-cita yang disemai oleh anaknya sejak kecil. Mahu menyelamatkan nyawa manusia seramai mungkin, itu azam Hadi. Sulaiman duduk di laman rumah dengan pandangan di hala ke kolam ikan kecil di depan. Dia memejam mata barang seketika. Air jernih, kelihatan turun di tubir mata. Dari tadi dia tahan, takut anak itu perasan dia menangis. 30 tahun, dia tidak menikah lain. Setianya pada Zainab hingga sekarang. Dia tidak mahu Hadi mendapat ibu tiri. Pengalaman sendiri, banyak mengajar Sulaiman akan peritnya hidup dengan ibu tiri. Namun tidak semua ibu tiri jahat tetapi dia juga tidak mahu tersalah pilih.
"Nab... abang rindu," rintihnya.
30 tahun lepas... 31 Ogos 1952.
"Nab macam mana Mak Timah?" Dia risau, Zainab masih lesu selepas bersalin.
"Kau masuklah. Tengok sendiri." Lemah nada suara Mak Timah.
"Nab," panggilnya. Muka pucat Zainab ditatap. Tangan Zainab diusap lembut.
"Abang, jaga anak kita elok-elok."
"Nab... kenapa ni? Jangan cakap yang bukan-bukan. Nab akan sihat." Sulaiman mengusap kepala isterinya.
"Abang, masa Nab dah sampai. Nab minta ampun ya bang. Halalkan makan minum Nab..." Zainab berhenti berkata-kata sebaik jari suaminya melekat di bibir.
"Mak Timah, tak boleh ke tolong?" Mata Sulaiman berair sebaik melihat Mak Timah menggeleng.
“Abang...”
“Nab, mengucap sayang.” Bibirnya dekat dengan telinga Zainab. Mulut Zainab dilihat terketar-ketar mengucap. Sulaiman merintih sedih sebaik melihat mata Zainab perlahan-lahan tertutup. Dada isterinya juga mendatar. Zainab... telah pergi meninggalkannya.
“Abah, sejuk kat luar ni. Demam pula nanti. Jom masuk.”
Sulaiman yang terkejut tidak menjawab hanya bibir mengukir senyum.
“Abah... teringat cerita lama ya.” Hanisah merenung wajah lelaki di depan.
“Mana boleh lupa kisah lama Nisa. Mak Hadi meninggal lepas lahirkan dia sebab terkena peluru sesat masa komunis mengganas kat kampung abah dulu. Sampai sekarang abah tak boleh lupa.”
Hanisah terdiam. Sewaktu mula-mula mengenali Hadi, mendengar bagaimana kematian ibu suaminya itu, dia benar-benar terkejut dan sedih.
“Abah nak masuk bilik kejap.”
Hanisah yang sedang sarat mengandung melihat tubuh tua itu berlalu ke dalam. Walaupun agak berusia namun bapa mertuanya masih kelihatan tegap dan segak. Sampai ke hari ini, dia sangat kagum dengan kesetiaan lelaki itu terhadap arwah isteri.
“Abah...” Hadi membuka pintu kamar abah dengan perlahan. Matanya menangkap susuk tubuh abah yang sedang terbaring di atas katil dan dia semakin mendekati.
“Abah,” Hadi sudah duduk melutut di sisi tubuh yang sudah kaku. Akhirnya, abah pergi jua menemui Pencipta. Berakhir penantian rindu abah... mahu bersama emak.
TAMAT
Tak tahulah kena atau tak dengan tajuk dan tema. Hantam sajalah labu. Hehehe.
|