Di Aceh, Indonesia, pihak berkuasa syariah telah menguatkuasakan larangan jualan sebarang bentuk makanan pada sepanjang siang bulan Ramadhan dan peraturan itu berkuatkuasa kepada orang bukan Islam bagi menghormati orang Islam yang berpuasa. Menurut Ketua Operasi Wilayatul Hisbah Aceh, Hardy Karmy mengatakan peniaga makanan boleh memulakan perniagaan mereka antara jam 4 petang sehingga 8 malam dan seterusnya selepas sembahyang tarawih sampai ke Subuh. “Mereka mesti hormat kepada orang Islam yang berpuasa,” jelas Hardy. Wilayatul Hisbah adalah lembaga pengawasan yang memantau pelaksanaan syariat Islam di Aceh. Menurut The Jakarta Globe, badan itu sejak tiga hari yang lepas menjalankan operasi untuk memastikan tidak ada sesiapa yang menjual makanan di luar pada waktu yang ditetapkan. Walaubagaimanapun, larangan itu mendapat bantahan masyarakat bukan Islam. “Sejak hari ini peniaga makanan tidak dibenarkan menjual makanan biarpun kepada orang bukan Islam,” kata Kho Khie Siong, ketua Yayasan Hakka Aceh, sebuah badan masyarakat Cina. The Jakarta Globe melaporkan anggota penguatkuasa syariah itu mengosongkan sebuah lorong yang terkenal sebagai pusat jualan makanan di Penayong, Banda Aceh biarpun setiap gerai makan itu meletakkan notis hanya untuk orang bukan Islam. “Kami hormat mereka yang berpuasa dan kami juga hormat syariah Islam di Aceh kerana kami sudah tinggal di sejak turun temurun. Kami lahir dan besar di Aceh. Kami juga orang Aceh. Kalau dipaksa tutup sebulan, mereka hendak makan apa?” jelas Kho. Menurut Kho lagi, pihak berkuasa sepatutnya melonggar syarat itu supaya peniaga makanan dapat terus berniaga kerana itulah mata pencarian mereka. Jelas Kho larangan ini tidak pada tahun-tahun yang lepas terutamanya di kawasan masyarakat China dan beliau tidak tahu kenapa larangan itu diperkenalkan pada tahun ini. Astro Awani, The Jakarta Globe
|