|
SABTU ini, bermulalah cabaran skuad hoki negara di Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium.
Pasukan negara akan berjuang bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu adalah di Sydney, Australia pada 2000.
Kini terpulang kepada anak buah Tai Beng Hai untuk merealisasikan impian negara untuk sekali lagi berjuang di Sukan Olimpik.
“Kami menaruh harapan kepada pemain supaya mereka memberikan yang terbaik untuk meraih kejayaan,” kata Pengurus Pasukan, Stephen Van Huizen.
Pasukan hoki negara diundi dalam Kumpulan B, bersama skuad tuan rumah, Belgium, Ireland, China dan Great Britain.
Sementara Kumpulan A pula dihuni Australia, India, Poland, Perancis dan Pakistan. Speedy Tigers akan membuka tirai saingan WHL menentang China, kira-kira jam 6 petang waktu Malaysia.
Speedy Tigers perlu bukti kemampuan
KELMARIN, jam 11.10 malam, The Speedy Tigers berlepas ke Schipol, Amsterdam, Belanda.
Sebelum berdepan saingan sebenar nanti, dua aksi pemanas badan sudah diaturkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), K Logan Raj, perlawanan itu adalah menentang pasukan kebangsaan Brazil dan skuad Belanda Bawah-21.
“Selepas dua perlawanan itu, pasukan negara akan berlepas ke Belgium, esok,” katanya.
Sementara itu, bagi Beng Hai, dia mahu pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam aksi WHL itu nanti.
Katanya, sekiranya layak ke Sukan Olimpik, ia akan memberi nafas baru dalam arena sukan hoki negara.
“Sekarang tibalah masa untuk kita memberikan sepenuh tenaga bagi mencapai impian yang diidamkan.
“Kami akan bermain sebaik mungkin dan mengharapkan yang terbaik,” katanya.
Menurut Beng Hai, peluang beraksi dalam pusingan separuh akhir ini tidak harus disia-siakan.
“Peluang itu sudah ada, tetapi kita perlu faham bahawa bukan hanya kita yang mahu layak tetapi negara lain. Jadi kami perlu berjuang untuk menang.
“Tambahan pula, ia merupakan peluang yang diidamkan oleh pemain untuk beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.
Skuad Malaysia
PENJAGA GOL: S Kuhan, Roslan Jamaluddin
PERTAHANAN: Azlan Misron, Mohamad Shukri Abdul Mutalib, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin, Muhammad Razie Abdul Rahim (K), Baljit Singh Charun
TENGAH: Faiz Helmi Jali, Meor Muhamad Azuan Hasan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah, Shahril Saabah
PENYERANG: Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil, Muhammad Haziq Samsul, Faizal Saari, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Muhammad Firhan Ashaari
[url=]stadiumastro
[/url]
|
|