Jurulatih Perak, Datuk M. Karathu menggesa anak buahnya mempersiapkan kekuatan mental dalam pertembungan suku akhir dengan Terengganu malam ini andai berhasrat melangkah jauh dalam Piala FA musim ini. Pengendali berpengalaman luas itu mengenal pasti mental goyah barisan mudanya musim ini yang membawa kepada permainan lebih meyakinkan di laman lawan berbanding di Stadium Perak.
Karathu sedar sesetengah pemain bergelut untuk menggalas harapan tinggi pemain di laman sendiri, lebih-lebih lagi melibatkan detik kalah mati seperti malam ini.
"Apabila mereka bermain di tempat sendiri mereka akan rasa tekanan sebab buat salah penyokong akan menghukum mereka. Saya harap mereka boleh mengatasi masalah mental ini, kami perlu bermain dalam perlawanan yang lebih bagus dan tunjukkan prestasi yang lebih baik.
"Malam ini kami perlu bersedia daripada segi mental serta mempamerkan karektor dan semangat juang tinggi," jelas Karathu yang mahu mengulangi pencapaian memenangi Piala FA ketika melatih Perak 25 tahun yang lepas.
Perak pincang tanpa kelibat tonggak utama seperti Thiago Junior Aquino yang digantung sementara Mohd Nasir Basharuddin dan Fikri Sudin pula dilanda kecederaan. Karathu turut berharap seorang lagi tonggak import, Namkung Woong sempat cergas untuk memantapkan pasukannya.
sumber:www.stadiumastro.com
|