View: 1705|Reply: 0
|
Harimau Muda dicadang bubar - KJ
[Copy link]
|
|
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran supaya membubarkan skuad Harimau Muda iaitu skuad negara bawah 22 tahun bagi menumpukan perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar umbi.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata cadangan itu telah dimaklumkan kepada wakil FAM semalam.
Beliau berkata kewujudan skuad Harimau Muda itu adalah untuk tempoh jangka masa pendek dan tidak boleh diteruskan untuk jangka masa panjang.
Menurutnya beliau pernah membuat cadangan itu ketika memegang jawatan Timbalan Presiden FAM.
Sebelum ini pun saya pernah cadangkan supaya skuad Harimau Muda ini dibubarkan. Kita perlu beri peluang kepada pemain untuk bermain dengan kelab atau pasukan negeri, katanya ketika mengulas kegagalan skuad itu ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun di Qatar tahun depan.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jam tangan Garmin dengan navigasi sistem pengesanan global (GPS) di sini hari ini, Khairy berkata sekiranya pemain skuad itu didedahkan dengan kelab atau pasukan negeri, mungkin prestasi pemain akan meningkat dengan cepat.
Dengan cara itu, katanya, pemain akan lebih tahu tahap kemampuan masing-masing berbanding bermain dalam kalangan kelompok mereka sendiri di mana mereka tidak dapat meningkatkan kemahiran permainan masing-masing.
Pada pusingan kelayakan Kumpulan I, skuad bimbangan Razip Ismail hanya mampu menduduki tangga ketiga kumpulan selepas tewas kepada Vietnam 2-1 dan Jepun 1-0 dan menang 2-0 ke atas Macau.
Khairy berkata semua pemain bawah 23 tahun Jepun, bermain dengan kelab dalam liga tempatan sebelum dipanggil untuk mewakili negara itu.
"Peningkatan mutu bola sepak negara akan mengambil masa sekurang-kurangnya masa lima hingga 10 tahun dan justeru itu, generasi baharu dapat dilahirkan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN," katanya.
"Selari dengan matlamat PPBN, kita juga mahu Liga Malaysia menjadi lebih berdaya saing. Jika Liga Malaysia sendiri tidak berdaya saing, akhirnya kita akan dapat keputusan yang sama," katanya.
sumber:www.stadiumastro.com
|
|
|
|
|
|
|
| |
|