|
PELUMBA pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh merasa terkilan kerana gagal meraih kedudukan podium pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 sejauh 165.4km dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu hari ini.
Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu muncul pelumba terbaik negara selepas menduduki tangga keenam daripada 125 pelumba pada perlumbaan itu dengan catatan masa tiga jam 43 minit dan 14 saat bersama sembilan pelumba teratas.
"Momentum perlumbaan pada 5km terakhir bertambah laju sehingga menyebabkan tayar basikal rakan sepasukan saya, Anuar Manan mengalami kebocoran.
Beliau selalu memimpin perlumbaan dan membuka ruang untuk saya. Apabila tayar basikalnya bocor pada 1km terakhir, saya terpaksa mencari laluan sendiri sebelum menuju ke garisan penamat," kata Mohd Hariff ketika ditemui selepas perlumbaan itu.
Mohd Hariff yang turut dikenali sebagai pakar pecut negara mengharapkan dapat melakar keputusan yang lebih baik pada peringkat kelima, esok sejauh 200km dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang.
"Saya kena simpan banyak tenaga kerana esok laluan agak jauh selain terpaksa berhadapan dengan angin yang kuat. Kalau boleh, saya ingin tamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium," katanya.
Sejumlah 125 pelumba bakal melalui tiga zon pecutan pada peringkat kelima, esok iaitu di Dungun, Kertih dan Chukai selain satu zon pendakian di Kijal. - Bernama
|
|