|
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mencipta hatrik gelaran Kejohanan Cleveland Classic 2015 di Ohio, Amerika Syarikat hari ini, sekali gus melakarkan kemenangan pertama tahun ini.
Nicol membuktikan keunggulannya sebagai pemain nombor satu dunia apabila dengan mudah mengalahkan musuh tradisinya, Raneem El Welily dari Mesir dengan keputusan 11-5, 11-9 dan 11-4 pada final di Cleveland Racquet Club.
Sebelum ini, Nicol merangkul gelaran pertama kejohanan itu pada 2012 dan 2014.
Kemenangan tersebut merupakan gelaran ke-79 buat pemain berusia 31 tahun itu dalam penampilannya di 98 perlawanan final.
Isnin lepas, Nicol mecipta rekod dunia apabila dapat bertahan selama 106 bulan sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terbaru Persatuan Skuasy Wanita (WSA).
Anak kelahiran Pulau Pinang itu, yang memegang status pemain nombor satu dunia sejak Januari 2006, mengatasi pemegang rekod Susan Devoy dari New Zealand selama 105 bulan sejak Februari 1993. -Bernama
|
|