|
HADIRNYA model Hyundai i40 adalah kerana pengeluar Korea ingin memenuhi keinginan pasaran Eropah yang haus akan rekaan kereta yang futuristik.
Menerusi taqline New Thinking, New Possibilities, i40 sengaja dibangunkan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Hyundai Eropah yang bermarkas di Russelsheim, Jerman kerana tujuan asalnya itu.
Di pasaran Malaysia model i40 diperkenalkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2013. Di negara tertentu, i40 menggantikan Hyundai Sonata. Tetapi di Malaysia Hyundai Sime Darby Malaysia menjual i40 seiringan dengan Hyundai Sonata.
Seperti model-model Hyundai baharu yang lain, i40 ini juga masih terbawa rekaan ‘fluidic sculpture’ sama seperti Hyundai Sonata. Walaupun berkongsi platform dengan Sonata, i40 mengetengahkan rekaan kemas dan sofistikated.
Bahagian hadapan diisi dengan gril hexagon yang sporty dan lampu hadapan HID digabungkan dengan lampu LED nyalaan siang hari. Bahagian hujung belakang didatangkan dengan karakter lampu LED yang ringkas namun elegan.
Masuk ke bahagian kabin, aura Eropah lebih terserlah dengan rekaan, binaan dan kemasan standard yang tinggi. Sekurang-kurangnya kualiti yang ditawarkan selangkah ke hadapan berbanding Sonata.
Bagaimanapun ada beberapa perkara masih boleh ditambah baik. Contohnya seperti penggunaan kemasan plastik keras pada bahagian konsol tengah dan pintu.
Selain itu, penggunaan pedal shifter plastik di belakang stereng juga boleh dipertingkatkan.
Susun letak di dalam kabin juga adalah ergonomik di mana alat kawalan diletakkan dalam capaian yang mudah dicapai dan operasi yang intuitif. Ruang simpanan juga cukup banyak dan luas sama ada di konsol tengah mahu pun di tepi pintu.
Walaupun muncul agak padat dari luar, i40 menawarkan kabin yang luas. Ruang kepala dan lutut di belakang adalah cukup selesa untuk memuatkan orang dewasa.
Sebelum ini saya pernah mengeluarkan artikel tentang i40 tourer. Rekaan luaran dan ditampilkan pada kedua-dua model i40 ini tidak jauh berbeza. Perbezaan ketara hanyalah daripada segi panjang dan bentuk bahagian belakang. Selebihnya adalah sama.
Seperti model Tourer, i40 sedan turut dilengkapi dengan enjin yang sama enjin NU empat silinder aluminium. Namun enjin 2.0 GDi di bawah hud sedan menghasilkan kuasa 178hp dan tork setinggi 214Nm berbanding model Tourer 177hp/213Nm.
Pada pemanduan singkat hari bekerja, saya dapati enjin Nu i40 menghantar dorongan yang mencukupi pada rpm rendah ke pertengahan. Namun apabila saya mendesak jentera untuk lebih laju, sifat kasar dan kurang penapisan mula menyerlah.
Ia sungguh tidak membantu pada keadaan perlahan dan teragak-agak dalam kelajuan 6-automatik.
Ringkasnya, pecutan adalah lancar dan stabil namun bukanlah tindak balas pendikit yang pantas.
Namun daripada segi pengendalian, i40 adalah lebih baik berbanding Sonata walaupun kurang tajam.
Ketika melalui trafik padat sekitar Jalan Bukit Bintang, respons stereng berkuasa elektrik yang cepat dan ringan memudahkan pengendalian dalam bandar. Bahkan kedapan bunyi juga diserap dengan baik pada tahap minimum.
Untuk penggunaan di dalam bandar i40 Sedan memberikan pengendalian terbaik dan penggunaan bahan api di tahap sederhana. Kehadirannya masih mampu memberikan pilihan alternatif di dalam segmen sedan premium.
Spesifikasi
Enjin: 2.0L NU GDI
Bersesaran: 1999cc
Kuasa Maksimum: 178PS@6500rpm
Tork Maksimum: 214Nm@4700rpm
Transmisi: 6-kelajuan automatik
Keselamatan: 9 beg udara, ESP, ABS, BA, HAC, VSM, struktur hud multi kon
Harga: RM158k
|
|
|
|
|
|
|
| |
|