4 Jan – Pelantun lagu "Livin' la Vida Loca", Ricky Martin dan pasangannya, Carlos Gonzalez disahkan telah berpisah selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta. "Ricky dan Carlos telah bersetuju untuk mengakhiri hubungan mereka tetapi akan mengekalkan persahabatan yang terjalin serta memori yang pernah dilalui bersama," kata jurucakap penyanyi berusia 42 tahun itu dalam satu kenyataan seperti dipetik daripada laporan People.
Pada November lalu, satu sumber memberitahu jarak jauh mungkin menyebabkan pasangan ini berhadapan masalah dalam hubungan mereka.
"Mereka jarang menghabiskan masa bersama dan semakin renggang. Mereka sudah tidak bersama buat seketika."
Pasangan ini mula bercinta sekitar 2010 iaitu tahun yang sama Martin mengumumkan dia adalah seorang lelaki homoseksual di laman sesawang rasminya.
"Saya berbangga mengatakan bahawa saya adalah lelaki homoseksual yang bertuah. Saya bersyukur dengan diri saya yang sebenar," ujarnya pada 29 Mac 2010.
Sebelum ini Martin pernah memuji pasangannya kerana sentiasa memberi sokongan lebih-lebih lagi dalam membesarkan dua anak lelakinya, Matteo dan Valentino, pasangan kembar yang dilahirkan menggunakan ibu tumpang dan kini berusia lima tahun.
"Saya telah melalui banyak perkara indah bersama pasangan saya. Kompleks, persefahaman dan pada masa yang kebebasan serta tidak takut sekiranya pasangan menilai anda. Inilah yang saya temui pada Carlos," kata Martin kepada majalah Vanity Fair tahun lalu.
|