|
PERTAHANAN kental negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, tidak kisah siapa sahaja pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali baru skuad Harimau Malaya sekiranya khidmat Datuk K Rajagobal berakhir hujung bulan depan.
Menurutnya, tidak dinafikan jasa jurulatih itu yang berjaya mengubah senario bola sepak negara.
“Bagi saya, coach Raja menjalankan tugas dengan cemerlang. Sebelum ini kita tidak berjaya menjuarai sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa, namun setelah kehadirannya, pasukan negara muncul pemenang pingat emas di Sukan Sea 2009 serta menjuarai Piala AFF pada 2010.
“Saya tidak kisah siapa pilihan FAM bagi membimbing pasukan selepas ini. Terpulang kepada pengurusan FAM membuat keputusan setepatnya,” katanya selepas perlawanan kelayakan pusingan akhir Piala Asia antara Malaysia dan Qatar yang berakhir skuad negara tumbang 0-1, di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Jelasnya, ketika ini suasana kem skuad negara kelihatan tenang dan raa-rata pemain bersedia menerima kehadiran jurulatih baru dalam pasukan.
“Kami semua dah lama bawah bimbingan Raja, semenjak bermain dalam skuad remaja negara lagi. Jadi kami dah serasi dan memahami corak latihan diterapkan oleh jurulatih.
“Tipulah kalau kami tak sedih, tapi jurulatih selalu berpesan pada kami dalam dunia bola sepak moden ini, ‘datang dan pergi’ adalah lumrah dan perjuangan harus diteruskan. Walau apa pun, kami tetap akan beri komitmen dan kerjasama yang baik kepada sesiapa sahaja pengendali baru selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, masa depan Rajagobal terus menjadi tanda tanya apabila FAM dilaporkan menerima 30 permohonan daripada pengendali tempatan mahupun luar negara yang berminat untuk mengambil alih skuad Harimau Malaya.
Turut dikaitkan ialah jurulatih Singapura, Radojko Avramovic yang cemerlang membimbing pasukannya menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Difahamkan terdapat beberapa nama jurulatih tempatandilihat sesuai mengisi kekosongan tersebut antaranya, pengendali Sarawak, Robert Alberts dan pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.
Rajagobal yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Disember depan, ditetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi membantu Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
Setelah harungi lima perlawanan dalam kumpulan D, peluang pasukan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir kelihatan sukar apabila kini hanya mampu memungut empat mata dan berada di kedudukan ketiga di belakang Bahrain dan Qatar.
|
|