|
KISAH cinta tiga segi nampaknya masih menjadi pilihan penonton sehingga hari ini. Terbaru, drama Terukir Di Bintang, yang dibintangi pelakon hebat Tasha Shilla, Wan Elyas, Shiha Mentor, Kamal Adli dan Talha Harith mula menjadi sebutan ramai.
Bersiaran setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10 malam di slot Samarinda TV3, drama 15 episod ini mendapat sentuhan Jamal Khan sebagai pengarah dan skrip oleh Sofea J Rhyland.
Menurut Jamal, Terukir Di Bintang, sarat dengan drama dan emosi. Tidak terikat dengan kisah cinta semata-mata, kata Jamal, drama itu turut menyelitkan isu kekeluargaan yang banyak berlaku di kalangan masyarakat zaman sekarang.
"Plot utama drama ini memanglah mengisahkan percintaan anak muda, namun masih ada elemen lain yang ditonjolkan agar penonton tidak bosan dengan kisah cinta mereka.
"Saya tidak mahu setiap drama arahan terikat dengan satu elemen sahaja tetapi ia harus dipenuhi dengan pelbagai rencah," katanya yang menjalani 70 peratus penggambaran di pusat peranginan terkemuka, Cameron Highlands, Pahang dan selebihnya di ibu kota selama 38 hari.
Tukar pelakon saat akhir
Dalam setiap penggambaran pasti ada kekangan, begitu juga dengan drama ini yang menghadapi beberapa masalah termasuk pelakon dan cuaca yang tidak menentu.
Jamal berkata, mulanya watak utama (Adam) diterajui pelakon kian naik iaitu Syazwan Zulkifly tetapi diganti pada saat akhir dengan Wan Elyas.
"Kami terpaksa mengganti pelakon kerana Syazwan berhadapan masalah yang tidak dapat dielakkan.
"Walaupun Elyas pelakon lama tapi dia kurang bersedia dari segi mental dan masa yang singkat. Ada watak Adam yang dia kurang fahami, kami terpaksa menangguhkan sesetengah babak untuk beri masa kepada Elyas menghayatinya," katanya.
Tambahnya, dia belum pernah bekerjasama dengan Elyas sebelum ini, begitu juga dengan pendatang baharu lakonan, Shiha Mentor.
Jamal berkata, cuaca di Tanah Tinggi yang tidak menentu itu juga menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan penggambaran untuk seketika.
"Kebetulan ketika itu cuaca sejuk dan hujan melanda di lokasi penggambaran Satu babak yang sepatutnya dilakukan di sana ditukar ke Kuala Lumpur kerana faktor cuaca," katanya.
|
|