|
Ayie dan anaknya Shahira.
DUNIA muzik rock tempatan tidak pernah tenggelam dengan kehadiran penyanyi baharu dengan pelbagai genre berbeza. Sebut saja aliran muzik jazz, pop, blues, dan moden kontemporari, bahkan irama muzik tanah seberang, namun, muzik rock tetap menjadi pilihan hiburan sebilangan besar masyarakat.
Puluhan tahun berlalu, rock tetap tegar dengan pengikutnya dan suatu ketika kehadiran penyanyi berkumpulan bernama Leon pernah menghangatkan industri hiburan tanah air.
Kini bergerak secara solo, Ayie yang pernah menjadi vokalis kumpulan itu pada 1997 dilihat lebih terbuka mengetengahkan anak sulung, Fatin Shahira Nazrimi, 20, (Shahira) dalam persembahan dilakukannya.
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Saya tidak menghalang Shahira untuk menempa nama di bidang nyanyian. Sebagai papa, saya akan menyokong segala usahanya agar tidak sia-sia,” kata bapa enam anak ini.
Tetap menyengat
Kehadiran Ayie di beberapa siri jelajah karnival di Pahang baru-baru ini menggamatkan suasana. Lebih 500 peminat Leon berkumpul menantikan persembahan Ayie meski pun pada awalnya hujan turun renyai.
Ternyata, penangan Ayie tetap berbisa. Kekal menampilkan genre rock Melayu, Ayie dalam proses mengumpul material untuk merakamkan album solo buat dirinya dan single buat Shahira.
“Dalam perancangan ini, kami akan menggabungkan tiga kumpulan iaitu Scan, saya dan Sweetchild. Tinggal nak tanda tangan kontrak sahaja lagi. Dari segi bahan dan konsep sudah di peringkat akhir perbincangan.
“Doakan cepat-cepat selesai. Tak sabar nak buat comeback,” katanya yang kini lebih menumpukan perhatian terhadap persembahan jelajah karnival dan ekspo.
Bagi Ayie, meskipun dia tidak lagi mendapat hebahan dan publisiti meluas kerana kurang menonjolkan diri di media massa, dia masih bersyukur dengan peminatnya yang setia.
“Setiap kali buat persembahan, bagai nak menitis air mata lihat penonton yang ramai. Saya tahu sebilangan mereka bukan lahir pada zaman saya, tapi saya bangga mereka tahu lagu-lagu saya. Kalau panggil ke pentas, budak-budak muda pun pandai nyanyi lagu saya,” katanya.
Sudah lebih 23 tahun dalam industri, Ayie merupakan penyanyi asal kumpulan Umbrella. Dia kemudian membawa diri keluar dari Umbrella lalu menyertai Leon yang mana tempatnya digantikan Zarul selaku vokalis baru Umbrella.
Album ke-3 Leon Silauan Mengilau ‘97 - (1997) yang menyenaraikan lagu-lagu popular seperti; Kita Saling Memerlukan, Bila Bunga Dilaman Orang, Kau Tetap Di Ingatan Ku dan Balasan Janji Palsu Mu menaikkan nama Ayie di persada dunia hiburan.
Pertaruh Kemelut
Tidak menyepikan diri dari industri seni yang semakin sengit, Ayie sama sekali menafikan dia merajuk dengan situasi.
“Ayie masih wujud, cuma kini secara solo. Tak keluar TV bukan bererti saya tidak kerja. Tawaran menyanyi masih banyak tetapi saya ambil pendekatan lebih selektif. Saya serik kena tipu. Buat show sungguh-sungguh tapi akhirnya kita ditipu. Macam sekarang menyanyi di karnival atau event persendirian buat saya lebih dekat dengan peminat,” terangnya.
Berkongsi cerita, Ayie mengumumkan single yang merupakan sekuel lagu popular kumpulan Leon, Balasan Janji Palsu bertajuk Kemelut; bakal diterbitkan tidak lama lagi.
“Mama Juwie banyak membantu dalam single ini. Saya tak boleh cerita panjang tapi InsyaALLAH, bakal keluar dalam masa terdekat,” kata pelantun lagu Soundtrack filem filem Rasuk dan Adik Manja Return ini.
|
|