View: 1628|Reply: 0
|
Usah tuding jari hentam Pafa
[Copy link]
|
|
PRESIDEN Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman memohon agar pihak luar khususnya pengkritik tidak menyalahkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berhubung tindakan persatuan itu menggantung pegawai dan pemain atas dakwaan wujud unsur sabotaj dan rasuah baru-baru ini.
Ini kerana menurut Jamil, pihak berkenaan tidak seharusnya menuding jari kepada Pafa tanpa usul periksa kerana apa yang dilakukan oleh persatuan itu demi kebaikan Perak.
"Saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi bagi kami apa yang dilakukan Pafa adalah tindakan yang bagus kerana ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan seseorang sebaliknya mahu memastikan pasukan Perak tidak terlibat dengan gejala rasuah.
"Jadi saya rasa tiada sebab untuk pihak luar menghentam Pafa kerana Pafa sendiri tidak menuding jari kepada sesiapa sebaliknya hanya melakukan siasatan.
"Dan dalam kes ini sudah terbukti tiada siapa yang salah dan Pafa sendiri memberitahu tiada unsur sabotaj dalam Perak. Jadi kenapa harus salahkan Pafa.
"Mereka boleh beri pandangan tetapi tidaklah sampai menggambarkan Pafa ni terlalu teruk sehingga jurulatih pun lari kerana kecewa dalam hal ini. Lagipun saya yakin Mohd Azraai Khor Abdullah membuat keputusan menamatkan kontrak bukan disebabkan kes ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pengkritik yang menganggap tindakan drastik persatuan itu menggantung pegawai pasukan dan pemain skuad itu, baru-baru ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati pegawai mahupun pemain sehingga didakwa menyebabkan Mohd Azraai membuat keputusan untuk menamatkan kontrak awal.
Dalam laporan tempatan semalam, pengkritik juga mendakwa akibat tindakan itu menyebabkan ramai pemain tidak mahu menyertai pasukan Perak pada musim depan.
Tambah Jamil, jadilah pengkritik yang rasional dan melihat tindakan Pafa itu secara positif.
"Semuanya sudah selesai. Jadi saya harap isu ini tidak akan dipanjangkan. Lagipun Pafa buat semua ini berdasarkan kewajaran dan bersesuaian, jadi tidak perlu untuk orang lain terasa hati mahupun kecewa.
"Oleh itu, cukup-cukuplah, sekarang ini kita tumpukan untuk persiapan 2014," ujarnya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|