|
SETELAH hubungannya dengan Sharnaaz Ahmad menemui titik noktah, kehadiran Johan A'sari di sisi Shila Amzah menarik perhatian ramai.
Apatah lagi apabila keduanya mengaku bahawa ibu bapa masing-masing berkawan rapat. Namun sehingga kini hubungan rapat mereka terus menjadi teka-teki.
Biarpun menegaskan tidak mempunyai hubungan istimewa, namun kehadiran Johan pada Showcase Shila di di Penthouse, The Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada petang Khamis lalu, menarik perhatian ramai.
Di tebak mengenai kehadiran Johan pada Showcase berkenaan, Shila menjelaskan ia merupakan satu sokongan daripada teman rapatnya itu.
"Tak adalah istimewa sangat. Johan datang atas jemputan, macam tetamu lain. Urusan jemputan dikendalikan oleh ibu saya," katanya ketika ditemui sebaik tamat persembahan.
Selain itu, turut hadir pada showcase berkenaan adalah artis popular seperti Datuk Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, Datuk DJ Dave, dan Nazim Othman.
Menerusi persembahan hampir dua jam itu, Shila tampil menyanyikan lagu-lagu daripada album terbarunya, antara lagu 'Masih Aku Cinta’, ‘Maaf’, ‘Tulus’ dan ‘Cinta Hati’.
Bagi menambahkan variasi dalam persembahannya, Shila turut menyampaikan lagu medley penyanyi antarabangsa yang dia kagumi, Adele iaitu lagu ‘Rolling In The Deep’, ‘Rumour Has It’ dan ‘Set Fire To The Rain’.
SH : Cinta jadi inspirasi
Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini turut mengakui menempuh pelbagai ujian dalam percintaan memberikannya lebih kekuatan untuk terus berada di lapangan seni.
Dia menjelaskan banyak mencurahkan segala perasaan yang dirasainya melalui lagu-lagu ciptaannya menerusi album terbarunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya mencurahkan segala perasaan saya ketika menggubah lagu-lagu ini. Ia lebih berfaedah kepada saya dan menjadikan saya lebih tenang selepas menggubahnya.
“Alhamdulillah semua menjadikan saya lebih kuat dan bersemangat untuk saya menempuhi kehidupan. Apa yang penting saya dapat menghargai masa bersama keluarga, rakan-rakan dan peminat tanpa perlu mengambil kira tentang individu lain," katanya.
Lebih istimewa, showcase tersebut seiring dengan pelancaran album terbaru berjudul, Shila Amzah.
“Saya tak nak buat pelancaran album yang biasa-biasa, jadi kita adakan showcase ni. Ia hadiah buat peminat dan media tanda penghargaan saya kepada semua yang menyokong saya
selama ini.
Dalam album ni dirakamkan secara live, jadi saya nak peminat pun sama-sama menikmati lagu dalam album ni pada persembahan live saya," katanya.
Sementara itu, mengenai perancangan jangka masa panjang Shila berkata dia akan mengadakan sebuah konsert pada tahun hadapan.
“Insya-ALLAH saya akan mengadakan konsert pada tahun hadapan. Showcase ni juga sebagai persediaan saya untuk konsert nanti. Sebab tu saya tak nyanyikan lagu-lagu lama saya sebab saya simpan untuk konsert,” ujarnya.
|
|