View: 1773|Reply: 0
|
SJKT, BM dan Agama Hindu
[Copy link]
|
|
[
Salah satu topik yang kembali dipolitikkan puak tertentu sejak belakangan ini adalah supaya sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) dimansuhkan.
Maknanya, kesemua sekolah di negara ini akan menjadi sekolah kebangsaan (SK). Ingat: “kebangsaan” dan bukannya “Melayu” seperti diimpikan puak fanatik, etrosentrik, ultra kiasu dan rasis tertentu.
Secara kebetulan, baru-baru ini saya berbincang bersama-sama beberapa rakan mengenai penulisan karya berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. Nampaknya topik yang saya kemukakan itu akan menjadi lebih penting sekiranya SJKT dimansuhkan dan semua kanak-kanak kaum India belajar di SK.
Kalau diperhatikan, sejak tahun 1970-an – iaitu sejak istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan dan sistem pendidikan kebangsaan mula diberikan keutamaan ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” – ramai ibu bapa kaum India (dan Cina) menghantar anak-anak ke SK.
Walaupun saya sering menulis dan mengungkitkan pelbagai kepincangan yang nyata terdapat pada SJKT [BACA DI SINI], tidak bermakna saya mahu sekolah berkenaan dimansuhkan. Sebaliknya, harapan saya adalah supaya segala kelemahan yang wujud diatasi segera.
Tambahan pula, Barisan Nasional (BN) sudah memberikan pelbagai “janji manis” bagi memelihara SJKT selagi gabungan parti-parti politik berasaskan kaum itu terus menguasai Putrajaya.
Misalnya, dalam buku “Nambikei: Janji Ditepati” (sebuah buku haram kerana tiada maklumat ISBN, penerbit, pencetak dan sebagainya) dinyatakan bahawa “RM340 juta dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan dari 2009 hingga 2011 untuk pembangunan infrastruktur di lebih 250 sekolah Tamil di seluruh negara”.
Malah, BN juga berjanji bahawa tujuh lagi SJKT akan dibina; menjadikan jumlahnya 530 buah. SJKT baru yang dimaksudkan dalam “janji BN” adalah di Lunas, Sungai Petani, Sungai Siput, Petaling Jaya, Klang, Cheras dan Masai.
Bagaimanapun, memandangkan ada “puak” yang lebih berkuasa daripada BN dalam menentukan senario politik, sosial, ekonomi, budaya dan pendidikan negara, kita andaikan sahaja bahawa kesemua SJKT berjaya dimansuhkan sepenuhnya. (Nota: Usah bermimpi mahu menghapuskan SJKC!)
Pada waktu itu, tentulah Bahasa Malaysia akan menjadi bahasa utama generasi mudakaum India; khususnya secara bertulis dan membaca. Bahasa Tamil akan menjadi bahasa kedua atau ketiga dalam andaian melampau (extreme assumption) ini. Maknanya, pengetahuan budaya India dan agama Hindu (atau Kristian) paling berkesan jika disampaikan kepada mereka menggunakan Bahasa Malaysia.
Saya amat bersetuju! Malah, pada masa sekarang, rata-rata rakyat Malaysia daripada kalangan kaum India beragama Hindu berumur 50 tahun dan ke bawah menguasai Bahasa Malaysia (selain bahasa ibunda dan bahasa-bahasa lain). Maka, apa salahnya jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu (termasuk buku cerita, majalah dan komik) diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.
Kalimah Allah dalam Bible jadi pengajaran?
Usah kita lupa bahawa hak mendalami agama masing-masing dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Malaysia pula adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Lalu, bukanlah sesuatu yang pelik atau menimbulkan kemusykilan jika bahan-bahan berkaitan agama Hindu bagi bacaan penganut agama Hindu diterbitkan dalam bahasa kebangsaan.
“Pada pandangan saya, adalah tidak wajar bahan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Saya tidak mahu melihat boleh atau tidaknya ia dilakukan dari aspek Perlembagaan, tetapi dari aspek sensitiviti umat Islam yang membentuk majoriti penduduk di negara ini,” kata Haizir Othman dari Klang, Selangor.
Pegawai perpustakaan yang berasal dari Jasin, Melaka itu berpendirian bahawa umat Islam pasti akan tersinggung. Beliau mengemukakan isu penggunaan kalimah “Allah” dalam Bible sebagai contoh yang disifatkannya “boleh merencatkan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia”.
“Di Malaysia, orang Melayu sudah amat sinonim dengan agama Islam. Ia suatu status quoyang bagi saya, tidak perlu diubah. Maka, jika Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) digunakan dalam penerbitan bahan bacaan berkaitan agama Hindu, saya risau sensitiviti agama Islam akan terkait sama.
“Puak ekstrim ada di mana-mana. Mereka mungkin akan menggunakan peluang ini untuk memulakan sengketa. Pada pandangan dan permintaan saya, usahlah bahan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia kerana mudaratnya lebih banyak daripada manfaat,” kata pemuda berumur 33 tahun itu.
Seorang calon ijazah kedoktoran di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut berkongsi pandangan secara ikhlas berhubung topik ini yang memang boleh dianggap sensitif sekiranya tidak ditangani secara profesional.
“Salah satu ‘hindsight’ berikutan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Bible adalah kemunculan golongan Muslim yang sederhana (moderate) dalam sudut pandangan (worldview) mereka. Saya merupakan salah seorang daripada mereka,” akui Mohd Zaidi Md Zabri yang lahir di Ipoh, Perak.
Pemuda berumur 30 tahun ini tidak menolak realiti golongan “religious bigot” (ekstrimis agama) hadir dalam kebanyakan agama.
“Saya hampir 100 peratus yakin bahawa jikalau bahan-bahan berkaitan agama Hindu ditulis dalam Bahasa Malaysia untuk bacaan penganut agama Hindu di Malaysia, golongan yang saya sebutkan tadi bakal gelisah bak cacing yang kepanasan. Apa-apa pun, teruskan sahaja usaha itu,” kata Mohd Zaidi.
Memandangkan Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan lingua franca negara,Nagathisen Katahenggam tertanya-tanya apakah rasional bagi mana-mana pihak melarang penerbitan bahan-bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia untuk bacaan penganut agama berkenaan.
“Bukankah kita sering diseru supaya bertutur dalam Bahasa Malaysia? Masyarakat majoriti juga selalu mengkritik golongan minoriti jika kurang menggunakan bahasa kebangsaan. Lalu, kenapa perlu memprotes usaha memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan minoriti beragama Hindu?” Demikian pertanyaan penjawat awam berumur 31 tahun ini.
Nagathisen dari Jelutung, Pulau Pinang juga mengingatkan bahawa Bahasa Malaysia menjadi bahasa komunikasi bagi pelbagai lapisan masyarakat dalam kalangan kaum India; sama ada berpendidikan tinggi atau kurang berpendidikan.
Penting bagi pupuk kesedaran, atasi masalah sosial
“Sekiranya ada bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia, maka sedikit-sebanyak dapat digunakan untuk mendidik kaum India beragama Hindu; sekali gus menjadi medium menyelesaikan masalah sosial yang sering dikaitkan dengan golongan tidak berpendidikan tinggi.
“Kalau ada pihak yang terlalu bimbang, maka satu kompromi yang dapat dilakukan adalah dengan mencetak frasa UNTUK BUKAN MUSLIM SAHAJA pada kulit buku atau majalah terbabit,” katanya.
Berbalik kepada kebimbangan yang diluahkan secara ikhlas oleh Haizir, Navanitha @ Nitha Nairu dari Menglembu, Perak cuba memberikan penjelasan agar tidak timbul sebarang kekeliruan.
“Bagi saya, penerbitan yang dimaksudkan adalah untuk memupuk kesedaran dalam jiwa remaja/belia beragama Hindu. Harus dinyatakan bahawa perkara ini tiada apa-apa kaitan dengan penganut agama Islam; atau usaha menyebarkan agama Hindu kepada penduduk Muslim.
“Cadangan penerbitan bahan berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia tidak sepatutnya dijadikan isu. Tambahan pula, jika pegangan agama dan keimanan seseorang adalah tinggi, tidak timbul soal penganut Islam akan tertarik untuk membaca bahan-bahan agama Hindu ini; apatah lagi meninggalkan agama asal,” juruteknologi makmal perubatan yang berasal dari Kangar, Perlis itu mengingatkan.
Turut berkongsi pandangan dalam isu ini ialah R Balamurali (Vehl Murali), peguam berumur 29 tahun yang berasal dari Pahang dan kini tinggal di Sungai Buloh, Selangor.
“Saya mengikuti isu berkaitan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Bible. Memang ada anggota masyarakat yang mengeluarkan pandangan yang tidak berasas kerana hanya mendapatkan maklumat dari media arus perdana tertentu yang sudah tercalar kredibilitinya.
“Agak malang bahawa di negara ini, sentiasa ada golongan yang cuba memanipulasi isu-isu berkaitan agama demi kepentingan politik dan diri. Mujurlah majoriti umat Islam tidak termasuk dalam kategori sedemikian; sebaliknya melibatkan kumpulan kecil sahaja. Umpama nila setitik,” Balamurali menghuraikan.
Peguam muda itu juga perpendapat bahawa kebimbangan yang diluahkan secara ikhlas oleh orang-orang seperti Haizir mungkin disebabkan kurangnya akses maklumat dan pencerahan minda berkaitan isu sebenar berhubung topik penerbitan bahan bacaan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia.
“Saya berpendapat bahawa kebimbangan seumpama itu adalah tidak berasas. Lebih-lebih lagi, maklumat mengenai agama Hindu yang mahu ditulis menggunakan Bahasa Malaysia adalah berbentuk ilmu, ilmiah dan pengetahuan sahaja. Bukan sebagai bahan memujuk orang lain memeluk agama Hindu,” katanya.
Hasil daripada pengalaman saya sendiri, ramai juga orang “Bukan Kaum India” dan “Bukan Hindu” berminat membaca bahan-bahan berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu yang saya tulis dalam bentuk fiksyen (cerpen, novel, cerita bersiri) dan non-fiksyen (makalah, kertas kerja) menggunakan Bahasa Malaysia sejak tahun 1992.
Tidak seorang pun daripada mereka yang meninggalkan agama asal selepas membaca bahan-bahan berkenaan. Sebaliknya, mereka berupaya lebih mengenali, memahami, menghormati dan bersifat empati terhadap rakan-rakan kaum India beragama Hindu. – Baca juga makalah bertajuk “Bahasa Malaysia dan Agama Hindu”
[Makalah ini ditulis pada 13 Mei 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|