View: 2156|Reply: 0
|
Tabriz Petrochemical mantap
[Copy link]
|
|
PELUMBA-PELUMBA TPT bergambar selepas berjaya merangkul lima gelaran pada edisi kedua Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Borneo (ToB) 2013 di Penampang, Sabah semalam.
PASUKAN profesional Tabriz Petrochemical Team (TPT) mencuri tumpuan apabila merangkul lima gelaran pada edisi kedua Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Borneo (ToB) 2013 yang berakhir di Penampang semalam.
Selain dinobatkan sebagai juara keseluruhan, pasukan dari Iran itu turut muncul sebagai pasukan terbaik Asia setelah mengumpul catatan masa 52 jam 43 minit dan 43 saat.
Penampilan sulung pasukan benua itu menjadi lebih manis apabila pelumbanya, Ghader Mizbani Iranagh menggondol tiga gelaran iaitu Pelumba Terbaik Keseluruhan (Jersi Kuning), Pelumba Terbaik Asia (Jersi Biru) dan Raja Bukit (Jersi Merah).
Ghader berjaya menamatkan perlumbaan lima peringkat itu dengan mengumpul catatan masa keseluruhan 17 jam 31 minit dan sembilan saat dengan kelebihan lapan saat di depan pencabar terdekat serta rakan sepasukan, Mirsamad Pourseyedigolakhour.
Pada saingan peringkat kelima sejauh 98.1 kilometer (km) dari Kundasang ke Penampang semalam, rakan sepasukan Ghader, Mehdi Sohrabi muncul juara dengan catatan masa dua jam 14 minit dan 48 saat.
Sebelum ini, Mehdi menakluki peringkat kedua dari Tanjung Aru ke Papar.
Bagaimanapun, TPT itu gagal menyapu bersih semua gelaran apabila Mehdi ketinggalan satu mata untuk meraih gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau) yang menjadi milik pelumba Malaysia, Anuar Manan.
Anuar yang mewakili pasukan Synergy Baku Cycling Team dari Azerbaijan mengumpul 44 mata untuk menyarung jersi tersebut.
Ghader menganggap ToB 2013 merupakan perlumbaan mencabar yang baik dan berharap pihak penganjur akan mempertingkatkan siri itu tahun depan.
Menurut pelumba berusia 27 tahun itu, pendakian yang memeritkan di Banjaran Crocker merupakan satu cabaran yang menarik pada jelajah itu.
Dalam pada itu, Anuar berkata, perlumbaan peringkat terakhir itu tidak begitu meletihkan berbanding kelmarin.
"Sasaran awal untuk menaiki podium hari ini tidak kesampaian. Perlumbaan bermula dengan pendakian dan selepas itu mengharungi laluan berbukit.
"Apabila sampai ke laluan menurun, perlumbaan semakin pantas dan saya ketinggalan apabila pelumba melakukan pecahan," kata Anuar.
Situasi itu menyebabkan beliau gagal memintas pelumba depan di zon pecutan tunggal di Kampung Berungis.
Bagaimanapun, beliau gembira kerana dapat mengekalkan Jersi Hijau meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan di kaki kiri.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|