View: 2328|Reply: 0
|
Rio pesaing baru segmen B
[Copy link]
|
|
DI muka hadapan saya ada menyebut tentang figura bernama Peter Schreyer. Lelaki Jerman ini begitu sinonim dengan hasil rekaan menarik pada kereta keluaran Audi dan Volkswagen (1980-2006). Kini jejaka kelahiran Bad Reichenhall, Bavaria ini telah pun dipinang Kia Motors sebagai Ketua Pegawai Rekaan Kia Motors.
Maka tidak hairanlah sekiranya pada model Rio ini terselit bayangan dari model yang pernah menerima sentuhannya sebelum ini. Maka terjawablah sedikit persamaan berkenaan.
Peter merupakan pereka yang berada di sebalik kelahiran Audi A3. Bahkan, Audi TT juga rekaan terakhirnya sebelum meninggalkan jenama automotif negara kelahirannya itu.
Sederhana dalam imejnya sendiri
Memetik kata Peter, “Di masa lalu, barisan kenderaan Kia sangat standard. Ketika melihatnya di jalan, anda tidak dapat membezakan sama ada ia produk Korea atau Jepun dan menurut saya, menjadi hal yang sangat penting, anda dapat mengenali Kia pada saat pertama kali melihatnya.”
Justeru itu, Peter mengetengahkan satu idea yang nyata membezakan Kia dengan model pesaingnya menerusi 'Tiger Nose' yang diperkenalkan pada Frankfurt Motor Show 2007. Tiger Nose diterjemahkan menerusi penggunaan gril yang memberi imej kepada kenderaan Kia.
Bahagian hadapan kenderaan merupakan identiti jenama. Sederhananya, sebuah kereta mementingkan ‘wajah’ dan bagi Kia Rio serba baharu ini karakternya kuat dan berbeza. Anda sudah dapat mengenal pastinya sebagai varian Kia walaupun dari jarak jauh.
Dari segi saiz ianya sudah bertambah –Rio lebih panjang 20 milimeter (mm) dari model sebelumnya menjadi 4045 mm dan lebar 25mm menjadi 1720 mm. Serta tidak lupa jarak roda yang meningkat sebanyak 70mm.
Pengurangan saiz yang ditolak hanyalah ketinggian dengan 15mm menjadi 1470 mm. Justeru itu, mereka yang berketinggian 6 kaki agak canggung sedikit berada di dalam. Dua rakan dengan tinggi masing-masing 182 sentimeter (cm) dan 180cm kurang selesa duduk di bahagian belakang.
Malah ruang kepala dan kaki tersedia hanyalah cukup-cukup untuk tinggi mereka di mana ketika itu penumpang hadapan berketinggian 175cm dan 156cm. Dari keadaan berkenaan, saya mengandaikan Rio ini sesuai untuk mereka yang ‘comel’ sekitar 150cm. Mereka yang berketinggian 6 kaki pasti kurang selesa untuk perjalanan jauh kerana ruang yang terhad.
Sementara itu, masuk ke bahagian kabin Rio menerima sentuhan dalam kelasnya sendiri. Kualiti buatan solid dapat ditemui termasuk pada material plastik trim kabin. Aplikasi butang kawalan pendingin hawa dan pemanas cermin hadapan dan belakang seakan konsep sama anda temui pada Toyota 86. Kabin Rio lebih dimonopoli padanan hitam yang tampil elegan.
Sebaik mendapat pikal, Rio mampu memecut
Dari segi prestasi, Rio mengguna enjin Gamma 1.4 liter DOHC MPI CVVT dengan hamburan kuasa 109PS pada 6300rpm dan 137Nm pada 4200rpm. Untuk penghantaran kuasa yang lebih lancar, Rio dipadankan dengan 4-kelajuan automatik bersama gabungan ‘manumatic’ iaitu fungsi tukaran manual.
Untuk segmen Pandu Uji kali ini, Pemotoran menerima varian tertinggi SX. Untuk varian SX ia didatangkan dengan butang start\stop dan rim aloi 17 inci. Serta tidak lupa tambahan lampu kabus hadapan, bumbung matahari, panel peralatan kluster Supervision, pendingin hawa automatik dan juga kunci pintar.
Peralatan standard termasuklah lampu LED nyalaan siang hari, lampu sisi boleh lipat bersama LED, stereng tilt/telescopic dan juga sistem audio Akarmys dengan enam pembesar suara bersama MP3 dan Aux.
Dari segi keselesaan tempat duduk bukanlah satu isu bagi saya dengan ketinggian 156cm. Ruang kepala, sisi dan kaki masih selesa. Diajak memecut dengan berat empat penumpang 310 kilogram, di awal pecutan Rio sedikit menolak. Pada kelajuan pertengahan mahupun ketika nyah pecutan sedikit tidak bersemangat dan jauh ketinggalan di luar blok.
Bagaimanapun sebaik ia mendapat kelajuan sekitar 90 kilometer sejam (km/j) ke atas dan terus mendapat respons pikap, Rio mampu memecut tinggi dan mengekalkan kelajuan.
Tetapi ketika dikerah di awal pecutan, enjin mengeluarkan sedikit bunyi keras, namun bunyi dan tahap getaran pada keseluruhannya adalah baik.
Cuba membawanya menembus kelajuan 150km/j, sebagai catatan positif, kabin hatchback yang bakal dipasang secara tempatan ini memiliki kedapan bunyi yang sangat baik. Saya tidak merasakan adanya suara enjin pada kelajuan itu. Malah pada keadaan melahu juga, enjin begitu senyap.
Bagaimanapun ketika mengajak Rio berlari laju di lebuh raya, sedikit kebimbangan kerana sterengnya yang terasa ringan dan suspensi yang agak empuk.
Tetapi buat penumpang belakang, penggantungan yang sedikit lembut memberikan keselesaan.
Untuk keselamatan, Rio tentunya komprehensif dilengkapi dengan Isofix, enam beg udara (hadapan, tepi hadapan, langsir hadapan/belakang), kawalan kestabilan elektronik, ABS/EBD, TCS, bantuan brek dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dalam senarai.
Harga yang ditawarkan RM 79,888 cukup wajar bagi anda yang menginginkan kenderaan hatchback dengan jenama Korea namun bercita rasa Eropah.
Terbiasa dengan keadaan lalu lintas padat, Rio boleh dipertimbangkan. Selain pengendalian mudah dipandu dengan stereng yang ringan, serta dilengkapi ECO-Drive sebagai panduan ekonomikal, Rio menawarkan ciri tambahan yang tiada dalam pesaingnya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|