|
PERTEMBUNGAN Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Selangor esok, merupakan perlawanan paling mencuri tumpuan dalam episod akhir Liga Super.
Kedua-dua pasukan bersaing merebut slot terakhir untuk layak ke saingan Piala AFC, musim depan.
Kelantan mengesahkan tiket awal ke Piala AFC selepas dinobatkan sebagai juara Piala FA, Sabtu lalu.
Bagi pengendali The Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim, keputusan seri sudah memadai untuk mengiringi skuad bimbingan Bojan Hodak.
Yakin dengan prestasi pemainnya, Irfan Bakti akan memastikan rekod tanpa kalah Selangor sejak tewas di tangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Februari lalu, tidak tercalar.
“Kalau diikutkan perlawanan ini, secara kebetulannya adalah pertembungan yang hebat kerana masing-masing ingin merebut slot kedua ke Piala AFC.
“Saya yakin sekurang-kurangnya dapat mengikat Johor DT dalam perlawanan Sabtu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Berbeza dengan skuad bimbingan Fandi Ahmad, Harimau Selatan perlu menumpaskan Selangor di Stadium Larkin.
Mengikut rekod, Johor DT pernah tewas di tangan Selangor, 1-2 saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Larkin.
“Kami tiada masalah untuk bermain di sana dan bersedia untuk berdepan Johor DT,” katanya.
• Petikan Berita Online •
|
|