KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini meminta pihak korporat memberi penajaan yang lebih besar untuk skuad hoki kebangsaan yang telah membuktikan keupayaan mencatatkan kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.
Beliau berkata prestasi skuad hoki semakin menonjol namun penajaan yang diterimanya tidak sebesar penajaan skuad bola sepak. "Tajaan yang diterima untuk bola sepak adalah berdasarkan populariti sukan itu dan ini sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan persembahan oleh pasukan hoki negara yang lebih menonjol tetapi tidak mendapat tajaan yang sepatutnya,".
Katanya kepada pemberita selepas melawat venue Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.
Khairy berkata beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan yang sewajarnya untuk pasukan hoki kebangsaan setimpal dengan usaha dan pencapaian pasukan tersebut.
Beliau berkata adalah penting untuk menyokong pasukan hoki negara hingga layak ke Piala Dunia 2014 untuk membuktikan sukan hoki mampu mengatasi bola sepak.
Skuad hoki negara berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga teratas Kumpulan B selepas menewaskan Afrika Selatan 6-4 pada saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor malam tadi.
Khairy dalam akaun twitternya selepas tamat perlawanan itu berkata: "Hoki kita semakin meningkat. Ranking dunia bagus. Tapi peruntukan sikit. Bola banyak duit. Tapi... Something is wrong with this picture."
Menurut Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia kini berada pada ranking ke-13 dunia berbanding kedudukan ranking skuad bola sepak negara di tangga 159 mengikut senaraui ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan lepas.
|