|
Chuan Yup (belakang, tengah) bergambar dengan enam atletnya yang meraih emas dan gangsa pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Phattalung, Thailand, baru-baru ini.
KOTA BHARU – Kontinjen Persatuan Taekwondo Negeri Kelantan (PTNK) sekali lagi mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa, setelah meraih tiga pingat emas dan gangsa pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Phattalung, Thailand yang berlangsung, baru-baru ini.
Tiga emas diraih menerusi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yok Eng, Pasir Mas, iaitu Fu Cern Put Thai dan Fu Ceen manakala satu lagi oleh Amir Talmizi dari Sekolah Menengah (SM) Sains Machang.
Kejayaan pasangan adik-beradik itu sememangnya sudah dijangka, memandangkan kedua mereka sering meraih pelbagai kejuaraan sama ada dalam pertandingan tempatan mahu pun di negara jiran itu sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, tiga gangsa disumbangkan Mohamad Fahami Razali dari SMK Ipoh, Tanah Merah, Nur Athirah Mohd Sahabudin (SMK Machang) dan Ainah Muhamad Talmizi (Sekolah Kebangsaan Sri Kelewek, Machang.
Jurulatih pasukan pelapis taekwondo Kelantan, Yee Chuan Hup berkata, kejayaan meraih enam pingat pada kejohanan itu merupakan hasil usaha anak buahnya yang gigih menjalani latihan berterusan sejak awal tahun ini.
“Kehebatan Fu Cern dan Fu Ceen jelas menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk meraih pingat pada pertandingan ini. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian kita kali ini.
“Kejayaan ini membuktikan sebenarnya atlet kita mampu bersaing dengan peserta luar jika terus diberi pendedahan lebih luas, selain kekerapan menyertai lebih banyak kejohanan kompetitif seperti ini,” katanya.
Chuan Yup berkata, dalam mana-mana pertandingan sekali pun memang sasarannya mahu menang, tetapi beliau lihat penyertaan ke kejohanan antarabangsa membuka peluang kepada anak buahnya menimba lebih banyak pengalaman, apabila dapat bertarung dengan lawan yang lebih hebat daripada mereka.
Dalam perkembangan sama, Chuan Yup berkata, pihak PTNK akan menghantar seramai enam peserta ke Kejohanan Taekwondo Kelab-Kelab Antarabangsa ke-11 yang bermula 27 hingga 30 Jun di Yogyakarta, Indonesia.
“Saya berharap dengan latihan dan pendedahan ke kejohanan sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa, pelatih ini dapat meningkatkan lagi prestasi mereka,”
|
|