|
Taylor Swift kini hangat digosipkan bercinta dengan Ed Sheeran selepas sama-sama menjayakan pembikinan album terbaru penyanyi berusia 21 tahun itu yang diberi judul Red.
Sheeran bagaimanapun menafikan gosip itu. Tegasnya, bercinta dengan Taylor adalah tindakan tidak profesional, malah pasti akan terasa janggal bekerjasama lagi jika hubungan itu terputus di tengah jalan.
“Saya dan Taylor akan bekerjasama selama enam bulan untuk konsert jelajahnya. Tidak masuk akal jika saya bercinta dengannya sebelum konsert. Itu tindakan bodoh dan tidak profesional. Saya tak faham kenapa peminat cakap kami bercinta, walhal hubungan kami atas dasar kerja semata-mata,” katanya.
Sebelum ini Taylor pernah bercinta dengan Jake Gyllenhall, John Mayer, Joe Jonas dan Taylor Lautner. Penyanyi yang popular dengan lagu I Knew You Were Trouble itu juga pernah menjalin hubungan dengan anggota One Direction, Harry Style yang juga sahabat baik Sheeran.
Bercakap kepada majalah OK!, Sheeran menjelaskan, sepanjang dua tahun mengenali Taylor, wanita itu bercinta dengan dua lelaki dan mungkin lebih.
“Saya mengenali ramai wanita yang mempunyai reputasi lebih baik daripada Taylor dan saya patut bersama wanita seperti itu. Saya mengenali Taylor secara peribadi.
“Dia bekerjaya dan sangat baik dengan semua orang. Tidak pernah sekali pun dia bersikap buruk, tetapi dia sering digambarkan sebagai wanita yang menjalin hubungan dengan ramai lelaki,” katanya.
|
|