Drama cinta wangsa menguasai pencalonan utama CARI K-drama Awards
by rukiaichigo
Moon That Embraces The Sun yang mendapat rating tertinggi pada tahun lepas merupakan satu-satunya drama yang membolot semua pencalonan anugerah kritikal dipertandingkan.
Buat julung-julung kalinya, bod Asian & Latin Drama FORUM CARI dengan moderator dauswq selaku pencipta/penyumbang idea (creator), telah menganjurkan CARI 2012 K – Drama Awards yang bakal diadakan pada awal Feb 2013. Dibantu oleh AJK-AJK seperti rukiaichigo, mafilee dan parasitology, anugerah ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada drama-drama korea yang telah ditayangkan sepanjang tahun 2012 yang dicalonkan sendiri oleh peminat-peminat drama korea dari kalangan forumer CARI yang lebih sinonim disebut k-drama. Sebanyak 41 drama korea yang telah tercalon antaranya adalah drama Rooftop Prince, The King 2 Hearts, The Moon That Embraces The Sun, Nice Guy dan beberapa lagi drama yang memberikan saingan yang sengit dalam 10 kategori yang telah dipertandingkan. Kategori yang bakal memberi saingan sengit antaranya adalah Best Picture, Best Screenplay/ Script Writing Award, Best Actor/Actress Award dan Popular Actor/Actress Award.
Berkisarkan kisah dan jalan cerita tentang seorang raja yang mencari cinta sejati, drama Rooftop Prince, The King 2 Hearts dan The Moon That Embraces The Sun masing-masing memberikan saingan yang sengit dalam setiap kategori anugerah yang mana Rooftop Prince pula tercalon dalam semua anugerah kecuali Best Supporting Actor manakala The Moon That Embrace The Sun pula tercalon untuk semua anugerah utama (Best Drama Award, Best Scriptwriting Award, Best Actor/Actress Award dan Best Supporting Actor/Actress). Lakonan unggul tetapi bersahaja Park Yoochun, Lee Seunggi dan Kim Soohyun sebagai seorang raja bukan sahaja telah berjaya menarik perhatian majoriti peminat k-drama untuk menonton ketiga-tiga drama tersebut, malah masing-masing tercalon dalam kategori individu iaitu Best Actor Award dan Most Popular Actor Award. Tidak ketinggalan juga selaku heroin kepada ketiga-tiga pelakon lelaki tersebut, Han Ji min, Ha Ji won dan Yoon Eun hye turut tercalon dalam kategori Best Actress Award dan Most Popular Actress Award yang mana bakat lakonan mereka memang tidak dapat disangkal hebatnya.
Uhm Tae Wong merupakan satu-satunya aktor veteran yang dicalonkan dalam anugerah "Critically Acclaimed Best Actor" dan beliau bakal bersaing dengan pelakon-pelakon muda yang sedang menaik seperti Song Joong Ki, Park Yoo Chun, Jo Won, Lee Seung Gi dan Kim Soo Hyun dalam kategori yang sama.
Selain daripada tiga k-drama yang secara keseluruhannya telah berjaya membolot tangga teratas dalam kategori pilihan, drama-drama seperti Nice Guy, Arang and The Magistrate, Reply 1997, I Miss You dan Bridal Mask juga turut memberi saingan yang sengit dalam beberapa kategori lain. Kehebatan lakonan Song Joongki bergandingan dengan Moon Chae won (Nica Guy) telah berjaya membolot 8 pencalonan di samping gandingan mantap Lee Junki dan Shin Minah (Arang and The Magistrate) yang mana berjaya menggondol 6 pencalonan. Keberkesanan Lee Junki membawa watak seorang Magistrate pada zaman dahulu kala memang betul-betul mengubat rindu peminat k-drama setelah beliau hampir dua tahun berehat dalam bidang seni kerana melaksanakan tugas sebagai rakyat Korea Selatan. Di samping itu, drama Reply 1997 juga tidak kurang hebatnya kerana tercalon dalam 2 kategori utama. Drama ini menggandingkan buat pertama kalinya pelakon muda baru, Seo In Guk dan Jung Eunji yang bermula sebagai teman baik dan pasangan kemudiannya diiringi dengan pertuturan dialek Busan. Keserasian mereka menyebabkan mereka tercalon dalam "Couple of The Year" dan memberikan impak yang agar besar dalam gelombang k-drama kendatipun mereka baru berjinak-jinak dalam bidang lakonan.
Moon Chae Won yang mendapat pengiktirafan anugerah aktres debut terbaik dalam kedua-dua filem, War of The Arrows dan drama, Princess Man pada tahun lepas turut tercalon dalam kategori "Critically Acclaimed Best Actress" dan "Popular Actress" atas lakonan mantap beliau dalam drama Nice Guy.
Selain pelakon-pelakon utama serta Pengarah yang menjadi tunggak pada satu-satu drama itu, pemilihan pelakon-pelakon pembantu juga memberi impak yang besar dalam menghasilkan drama yang lebih bermutu. Pembikinan babak dan suasana yang bersesuaian dengan skrip juga mendatangkan impak yang lebih berkesan kepada drama tersebut yang mana penonton dapat menghayati situasi yang berlaku. Hasilnya, drama seperti Rooftop Prince berjaya mendominasi 3 pencalonan dalam "Scene of The Year" kerana drama ini antara yang diingati para peminat.
Watak sebagai raja yang periang dan egoistik dalam Rooftop Prince antara lakonan Park Yoo Chun yang paling dingati dan menyebabkan drama ini mendapat pencalonan terbanyak dalam "Scene of The Year".
Secara keseluruhannya, drama-drama yang berkisarkan percintaan raja telah berjaya mencuri hati penonton dan mendominasi anugerah yang ditawarkan dalam CARI 2012 K – Drama Awards ini. Dengan berakhirnya peringkat awal saringan pada 13 Januari 2013 yang lalu, maka tibalah masanya untuk kita mengundi dan menilai calon-calon yang dipertandingkan sehingga 31 Januari 2013. Pihak moderator juga berharap dengan adanya anugerah seperti ini, dapat menarik minat lebih ramai penonton untuk menilai & memberikan buah pandangan pada drama-drama yang telah dihasilkan. Untuk mengundi, peminat bolehlah terus ke link: http://mforum1.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=695353&extra=page%3D1 atau terus ke laman mengundi : http://kwiksurveys.com/s.asp?sid=e2bsy2ozq1303sr76325. Jangan lupa untuk membalas komen di thread tersebut.
*Hasil nukilan forumer yang menggunakan nama pena, rukiaichigo dan telah diubahsuai oleh dauswq.
|