|
Detik membesar di Terengganu diimbau kembali dalam Without Boundaries\rNYATA sekali, jejaka ini bukan bergantung harap kepada wajah tampan semata-mata untuk mencipta nama dalam bidang penyiaran. Dia punya bakat yang besar dalam bidang itu, membuatkan dirinya sentiasa menjadi perhatian penerbit. Wajah Pan Asia yang dimiliki, boleh dianggap bonus buat Henry Golding untuk terus dikenali dalam dunia terbabit.\r\n\n\n\n\rBerdarah campuran, di mana ibunya berasal dari suku kaum Iban dan bapanya berdarah Inggeris, Henry Golding, 24, dengan loghat pekat Britishnya pandai menambat hati penonton dengan keletah dan tuturnya yang selamba, santai dan spontan. Kelebihan menghidupkan suasana turut memberikan kelebihan buat dirinya.\r\r\n\n\n\n\nMula berjinak sebagai hos rancangan 8TV Quickie, wajah Henry juga pernah menghiasi rancangan ESPN dan E! News Asia! Kini, Henry mengembangkan sayapnya dengan menjadi pengacara kepada program travelogue, Without Boundaries.\rSusulan kepada rancangan Welcome To The Rail World yang disiarkan tahun lalu, sekali lagi stesen penyiar dwibahasa, 8TV, menampilkan pengacara lincah ini membawa penonton menjelajah ke pulau dan pantai di sekitar tanah air, pada masa yang sama berkongsi pengalaman menikmati keindahan panorama dasar laut dan kecantikan alam semula jadi.\rHenry yang ditemui pada majlis sidang media rancangan berkenaan di Sunway Giza, Damansara baru-baru ini berkata, sudah sekian lama dia menanam hasrat untuk menimba pengalaman sebagai hos rancangan travelogue, dan kini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, dia ditawarkan sekali lagi untuk mengembara, namun kini ke pulau dan pantai pula.\r“Sepanjang tiga bulan penggambaran, pelbagai pengalaman mengagumkan dilalui, antaranya dapat berenang di sisi sekelompok penyu, bertembung secara dekat dengan pelbagai jenis haiwan laut termasuk ikan jerung. Semuanya itu peluang berharga yang sukar dilupakan.\r\n\n\n\n\r“Tambah menarik lagi, program ini bagai menyentuh kehidupan saya sendiri, di mana episod pertamanya membawa penonton ke tempat saya membesar sebelum berpindah ke England, iaitu ke Tanjong Jara, Dungun, Terengganu. Ia mengimbas kembali detik saya berlari-larian di tepian pantai dan segala-galanya mengimbau kenangan. \r“Ia juga cukup bermakna kerana itulah kepulangan pertama saya ke sana selepas hampir 15 tahun. Saya cukup terharu apabila Chef Ann, chef yang saya kenali pada zaman kanak-kanak dulu, masih bekerja di tempat yang sama di Tanjong Jara. Malah dia juga masih mengenali saya,” katanya yang amat mengagumi keindahan Pulau Redang.\rBahasa bukan penghalang\rDILAHIRKAN di Sarawak, tetapi membesar di Dungun, pada usia 9 tahun, Henry berpindah ke Surrey, England. Kini, sudah hampir tiga tahun Henry menetap di sini dan dia sememangnya berniat untuk terus melakar namanya di negara kelahiran sendiri.\rWalau bagaimanapun, jejaka ini tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, dek hakikat dia begitu lama dibesarkan di negara Eropah itu. Namun, Henry tidak melihat kekurangan itu sebagai satu kelemahan. Baginya, bahasa bukanlah penghalang utama dalam komunikasi, sebaliknya pelbagai perantaraan lain mampu digunakan untuk berinteraksi.\rUjar Henry lagi, walaupun dia tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tapi mampu memahami perbualan dalam bahasa itu.\rApabila ditanya mengenai mencuba nasib di cabang seni yang lain, seperti lakonan, Henry memberitahu sekiranya diberi peluang dan mendapat tunjuk ajar dengan lebih mendalam, pastinya dia tidak akan sia-siakannya. Henry pernah berlakon drama Goda dan muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly.\rAntara iklan komersial yang pernah dibintanginya pula ialah Coca-Cola, Tic Tac, Celcom, Toyota, Prego Pasta, Uberman, Levis, Cadbury dan Shangri La.\r“Saya berminat untuk mengembangkan kerjaya di sini. Jika diberi peluang menghadiri kelas lakonan dan nyanyian, mungkin saya akan mencuba. Tapi saya menyedari saya tidak mempunyai bakat nyanyian, cukuplah sekadar menyanyi secara suka-suka dan bukannya menyanyi secara profesional. \r“Kini saya mahu fokus kepada bidang pengacaraan, justeru saya tidak mencampur adukkan pelbagai perkara dalam satu masa. Saya gemar mengembara, dan buat masa sekarang, saya hanya memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya saya sebagai pengacara program travelogue,” ujarnya yang meminati gaya Anthony Bourdain sebagai hos.\rWalaupun rupanya yang seakan Mat Saleh, serta pernah memenangi kategori Hot Guy Award pada Anugerah Shout! 2010 dan CLEO\'s Hottest And Most Eligible Bachelor 2009, Henry seorang yang cukup merendah diri.\rMempunyai selera seperti rakyat Malaysia yang lain, Henry tidak menolak hidangan Melayu, di mana dia turut memakan durian, tempoyak dan petai. Selain itu, Henry gemar memakan ulat sagu yang cukup popular di negeri kelahirannya, Sarawak. Ternyata, rupa tidak menzahirkan perwatakan seseorang itu.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|