
Abang Johari ditemani Len dan Abang Arabi melawat pameran yang diadakan semasa majlis perasmian Wisma Lestari SFC, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dengan menyasarkan sehingga enam juta hektar tanah sebagai hutan kekal demi memperkukuh kelestarian negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat ini, sebanyak 900,000 hektar telah diwartakan sebagai hutan kekal, taman negara dan rizab alam semula jadi di Sarawak.
Sarawak juga katanya, telah mewartakan 84 taman negara dan beberapa kawasan tambahan, termasuk persekitaran Wisma Lestari Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Jalan Tapang, Kota Sentosa di sini yang juga bakal diwartakan sebagai rizab alam semula jadi.
"Pejabat ini bukan sahaja menempatkan kakitangan SFC, tetapi juga menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam usaha pemuliharaan taman negara, hidupan liar dan rizab alam semula jadi.
"Selain itu, ia akan berfungsi sebagai hab penyelidikan, termasuk makmal forensik bagi menyokong pendekatan kelestarian negeri dalam memelihara alam sekitar serta habitat semula jadi," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Wisma Lestari SFC di Jalan Tapang, Kota Sentosa di sini, hari ini.
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya menekankan keperluan kerjasama bersepadu bagi memperkayakan sumber asli Sarawak secara mampan yang diyakini dapat menambah nilai kepada kawasan lindungan negeri.
"Bandar Kuching telah diisytiharkan sebagai Geopark, maknanya ia mempunyai khazanah semula jadi yang perlu dipelihara dan mampu menjadi tarikan pelawat.
"Dalam usaha ini, kita telah menemui banyak spesies baharu, antaranya pelbagai jenis katak termasuk spesies tanpa mata. Ini adalah penemuan penyelidikan penting.
"Untuk makluman semua, katak ini boleh menjadi spesies unik yang tidak ditemui di tempat lain di dunia, menjadikannya tarikan penting terutama kepada saintis serta sebahagian daripada warisan semula jadi kita," ujarnya.
Selain katak, beliau turut menjelaskan Sarawak juga mempunyai mempunyai pelbagai spesies orkid dan tumbuhan lain yang sebahagiannya berpotensi memiliki khasiat perubatan.
Berhubung Wisma Lestari, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada SFC kerana mempunyai bangunan yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjaga khazanah termasuk sumber hutan bagi generasi akan datang.
Sementara itu, Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran berkata, bangunan itu menjadi penanda aras kepada infrastruktur hijau di negeri ini.
Ia juga katanya, menyepadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada komitmen SFC untuk mengurangkan jejak karbon.
"Wisma Lestari berdiri sebagai bukti dedikasi serta berfungsi sebagai pusat penyelidikan, kerjasama, dan inisiatif mampan sekali gus dapat membentuk usaha pemuliharaan Sarawak untuk generasi akan datang.
"Ia bukan sekadar batu bata dan mortar, ia mewakili visi untuk kemampanan - visi yang bermula dengan langkah kecil, seperti menggunakan tenaga suria untuk menyalakan lampu kawasan parkir dan menerangi nama serta logo SFC di bahagian atas bangunan.
"Inisiatif ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi ia melambangkan aspirasi kami untuk mengorak langkah lebih besar ke arah kemampanan," ujarnya.
Untuk rekod, nama bangunan itu juga diberikan oleh Abang Johari pada November tahun lalu, dengan ‘Lestari’ yang melambangkan kemampanan dan kesinambungan serta merangkumi misi SFC dalam usaha pemuliharaan.
|