CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8435|Reply: 0

[Sarawak] Operasi PETRONAS di Sarawak tidak boleh jejas peranan PETROS sebagai agregator gas

[Copy link]
Post time 19-2-2025 05:17 PM | Show all posts |Read mode


Gambar fail

KUCHING: Operasi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Sarawak menerusi kontrak sedia ada tidak boleh menjejaskan peranan PETROS sebagai agregator gas di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) menegaskan PETRONAS juga perlu memastikan operasinya di Sarawak juga tidak bercanggah dengan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO2016).

"Walaupun apabila PETROS mengambil peranan sebagai agregator gas, kontrak sedia ada yang dimeterai oleh PETRONAS dan anak-anak syarikatnya tidak terjejas.
Ini bagi membolehkan PETRONAS memenuhi obligasi kontrak domestik dan antarabangsanya.

"Namun prestasi kontrak sedia ada sedemikian tidak boleh menjejaskan peranan PETROS sebagai agregator gas dan tidak bercanggah dengan peruntukan DGO2016," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Johari berkata ia antara empat persefahaman dicapai dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kepentingan negara.

Beliau berkata tiga lagi persefahaman dicapai dengan Perdana Menteri ialah semua pihak menghormati undang-undang persekutuan dan negeri termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan DGO 2016.

Selain itu katanya, PETROS dan PETRONAS akan bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk memajukan kepentingan dan hasil negara dan negeri serta kepentingan Sarawak perlu diutamakan.

"Kerajaan Sarawak akan meminta kerajaan persekutuan untuk kawasan luar pesisir barat Sarawak dan di tempat lain di Pelantar Benua, untuk meneroka gas bagi  menghasilkan volum terjamin atau jumlah tambahan untuk memajukan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

"Ini bagi memastikan PETRONAS dapat memberikan akses gas yang terjamin sehingga 1.2 bilion kaki standard sehari untuk kegunaan domestik, iaitu penggunaan di dalam Sarawak bagi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak," jelasnya mengenai persefahaman keempat dicapai dengan Perdana Menteri.

Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak, demi kepentingan negara, komited dengan teguh  memastikan volum terjamin gas serta sebarang gas tambahan yang dihasilkan dari luar pesisir barat Sarawak dan tempat lain di Pelantar Benua, akan digunakan secara mampan.

Ini katanya, bagi menyokong pertumbuhan industri di Sarawak, untuk memenuhi permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia dan pengeluaran tenaga bersih, selaras dengan hasrat kerajaan persekutuan, Sarawak akan menjadi Hab Tenaga Bersih Malaysia.

Kerajaan Sarawak tambahnya, perlu memastikan jumlah yang terjamin akan dihantar (ke Semenanjung Malaysia) pada harga berpatutan atau harga yang akan menggalakkan pelaburan dan industri di Sarawak.

"Saya dan kerajaan GPS akan terus mempertahankan hak dan perlindungan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri serta diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia.

"Khususnya, Kerajaan Sarawak akan memastikan pelaksanaan kuasa perundangan oleh kerajaan persekutuan di bawah butiran 8(j) Senarai I (Senarai Persekutuan) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan ke atas pembangunan mineral, perlombongan, minyak dan medan minyak adalah tertakluk kepada Butiran 2(c) Senarai II (Senarai Negeri) yang memberikan kuasa kepada negeri ke atas lesen mencari gali, pajakan perlombongan dan perakuan.

"Kedua memastikan  kuasa perundangan ke atas Elektrik dan Pengagihan Gas yang diberikan kepada Dewan Undangan Negeri oleh Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa Perundangan) 1963, yang dibuat di bawah Perkara 95(1)(i) Perlembagaan Persekutuan, seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pada tahun 1962, dilindungi dan dipatuhi dengan tegas oleh kerajaan persekutuan.

"Ketiga, memastikan semua syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak mematuhi undang-undang negeri termasuk, tetapi tidak terhad kepada Kanun Tanah, terutama berkaitan penggunaan tanah untuk simpanan karbon; Ordinan Cukai Jualan Negeri, 1998 dan Ordinan Perlombongan Minyak, 1958 yang kini terpakai untuk mengawal penerokaan dan perlombongan petroleum di kawasan darat," jelasnya.

Abang Johari berkata di samping menjaga hak dan kuasa perlembagaan, Kerajaan Sarawak mengiktiraf aspirasi rakyat Sarawak untuk sistem penggunaan dan peruntukan gas yang lebih baik untuk menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Ini kerana menurutnya Pelan Hala Tuju Gas Sarawak perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk kestabilan dan pertumbuhan industri minyak dan gas di Sarawak terutama ketika ini mendepani cabaran ekonomi global serta peralihan ke arah tenaga diperbaharui.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas kenyataan yang beliau buat di Parlimen pada 17 Februari 2025 yang memperakui PETROS ialah pengagregat gas di Sarawak.

"Penerangan beliau juga memperakui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) adalah undang-undang yang membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini," katanya.

Beliau menambah, kenyataan Perdana Menteri itu jelas mengiktiraf PETROS telah dilantik sebagai agregator gas di Sarawak di bawah Seksyen 7A DGO 2016 dan akan melaksanakan fungsi dan tugasnya seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam DGO 2016 dan mengikut arahan yang dikeluarkan di bawahnya oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-3-2025 04:29 AM GMT+8 , Processed in 0.038117 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list