

Pasukan SAR mengusung mayat mangsa untuk diserahkan kepada PDRM bagi tindakan lanjut hari ini.
BINTULU: Seorang lelaki yang hilang di perairan Sungai Nyigu petang Isnin dijumpai maut dibaham buaya di sungai terbabit, hari ini.
Mayat mangsa ditemui pada jam 2.32 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 1.8 kilometer di kawasan hilir sungai.
"Sejurus berjaya dinaikkan, pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat menemui kesan gigitan buaya pada bahagian tubuh mangsa," ujar Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ahli keluarga kemudiannya dipanggil untuk menjalankan proses pengecaman dan mengesahkan mayat itu merupakan jasad mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 5.30 petang Isnin, mangsa yang dikenali sebagai David Gira berumur 49 tahun dikatakan keluar menjala ikan di sungai berkenaan sebelum hilang dipercayai dibaham buaya.
|