
Chieng (kanan) menyapa salah seorang warga emas yang mendapatkan vaksin di Poliklinik Oya hari ini.
SIBU: Program pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas yang sedang dijalankan di sini mendapat sambutan yang tinggi, namun kekurangan stok vaksin menjadi cabaran utama dalam penetapan jadual janji temu bagi orang ramai.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun berkata, setakat ini aduan utama yang diterima adalah berkaitan kesukaran orang ramai mendapatkan janji temu vaksinasi disebabkan bekalan vaksin yang terhad.
Meskipun begitu, beberapa pusat vaksinasi di seluruh Sibu termasuk klinik-klinik di Selangau, Kanowit dan Sibu Jaya, telah dibuka bagi memenuhi permintaan penduduk.
“Pada masa ini, stok vaksin agak terhad dan ramai yang telah mendaftar masih belum mendapat janji temu.
“Kami berharap lebih banyak stok akan dihantar pada bulan depan dan bulan-bulan berikutnya untuk memastikan semua yang telah mendaftar dapat menerima vaksin,” jelasnya di sini, hari ini.
Dr Teh turut mengingatkan orang ramai yang belum membuat janji temu supaya mendaftar melalui saluran rasmi dan tidak datang tanpa temu janji bagi mengelakkan kekeliruan atau kelewatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng menyuarakan harapannya agar kerajaan dapat meningkatkan bekalan vaksin di Sarawak khususnya untuk golongan warga emas dan penduduk yang baru mendaftar.
Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi masa janji temu yang telah ditetapkan.
“Vaksinasi adalah langkah penting untuk melindungi rakyat daripada penyakit berjangkit.
"Kami akan berusaha memastikan lebih banyak stok vaksin dihantar ke Sarawak dan memastikan program ini berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu beliau meninjau pelaksanaan program pemberian vaksin di Poliklinik Oya di sini, hari ini.
Chieng turut mengingatkan bahawa vaksinasi hanya akan diberikan kepada mereka yang telah membuat janji temu terlebih dahulu, sementara ‘walk-in’ tidak dibenarkan berikutan kekurangan stok.
Katanya, bagi mereka yang memilih untuk mendapatkan vaksin di klinik swasta, vaksin tersebut boleh diperoleh dengan kos sendiri.
Justeru beliau berharap lebih banyak bekalan vaksin yang dijangka tiba pada bulan depan dan April.
Sehubungan itu beliau berharap program vaksinasi di Sibu dan kawasan sekitar dapat diteruskan dengan lebih lancar, sekali gus memberi perlindungan kepada lebih ramai penduduk daripada penyakit yang boleh dicegah.
|