

LEMAS: Pasukan bomba menjalankan operasi mengangkat mayat mangsa yang ditemukan oleh orang awam.
SANDAKAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap udang, Sabtu lepas ditemukan lemas di pesisir pantai Tanjung Pisau, di sini, awal pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 14 tahun itu, ditemukan oleh orang awam kira-kira 20 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, pada jam 6.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa terbabit.
Katanya, pasukan bomba terus bertindak ke lokasi berkenaan untuk operasi mengambil dan mengangkat mayat mangsa yang ditemukan itu.
“Sebaik tiba, pasukan bomba segera mengangkat mayat terbabit dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Dengan penemuan itu dan setelah memastikan keadaan di lokasi dalam keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.50 pagi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Terdahulu, mangsa terbabit dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini bersama beberapa rakannya, kira-kira jam 5.30 pagi, Sabtu lalu.
Kehilangan mangsa disedari apabila mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa, menyebabkan keluarga dan penduduk kampung segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
|