
Wong (kanan) dan Tiong pada sidang media di Sibu, semalam.
SIBU: Pihak berkuasa yang berkaitan digesa untuk melihat kepada usaha pengorekan Kuala Mukah dekat sini berikutan pengurangan kedalaman sungai yang disebabkan oleh pemendapan lumpur.
Frankie Wong membuat seruan ini bagi pihak komuniti perkapalan, logistik dan penghantaran kerana ia menjejaskan operasi tongkang dan bot tunda.
Berhubung perkara ini, beliau mencadangkan agar pengorekan dilakukan kira-kira satu meter di dasar sungai tersebut.
"Terdapat empat buah tongkang, dua daripadanya masih tersekat disebabkan kedalaman sungai yang cetek dan sedang menunggu air pasang besar yang dijangka pada 25 Februari ini.
"Untuk perjalanan keluar, tongkang-tongkang ini membawa arang batu ke CMS Cement dan loji tenaga Sejingkat.
"Untuk perjalanan masuk, tongkang membawa kerikil dan pasir (digunakan untuk projek pembangunan)," kata Wong pada sidang media di sini, semalam.
Mengenai bot tunda, beliau berkata kapal-kapal tersebut digunakan untuk menarik tongkang ketika membawa bahan-bahan.
Beliau mengeluh bahawa apabila operasi terjejas, ekonomi di Mukah turut terkesan.
"Kerana arang batu tidak dapat dihantar keluar dan kerikil serta pasir tidak dapat dibawa masuk disebabkan sungai yang cetek.
"Jadi, adalah penting untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan sungai ini," cadang Wong.
Sementara itu, aktivis sosial, Simon Tiong meminta agar Sungai Seduan segera dikorek untuk didalamkan.
"Jika anda ingat banjir baru-baru ini, Jalan Ling Kai Cheng telah dilanda banjir selama beberapa hari kerana air tidak dapat mengalir keluar.
"Dan penduduk di Jalan Gelama mengadu bahawa mereka tidak dapat keluar kerana jalan raya dinaiki air,” keluh Tiong.
|