
Abang Johari bersama Wan Razly (kiri) dan Pengerusi Affin Bank Berhad Datuk Agil Natt (kanan) semasa bergambar bersama ‘cai qing’, tradisi persembahan tarian singa yang melambangkan penyebaran kekayaan dan tuah pada majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Affin Bank. - Gambar UKAS
KUCHING: Affin Bank Berhad (Affin Bank) diminta untuk segera menubuhkan pejabat wilayahnya di Sarawak bagi memudahkan dan mempercepat proses kelulusan pinjaman, terutama untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi Affin Bank mengenai perkara itu bagi memastikan bank berkenaan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kita (Sarawak) mempunyai banyak projek pembangunan, dan saya telah meminta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Bank untuk segera menubuhkan pejabat wilayah di sini, bukan sekadar menambah cawangan sahaja.
“Kita juga mahu pengurus Affin Bank di Sarawak diberikan kuasa untuk meluluskan pinjaman pada tahap tertentu tanpa perlu menunggu kelulusan daripada ibu pejabat di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Affin Bank di sebuah hotel di sini, malam Isnin.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai pegangan majoriti dalam Affin Bank dan berharap pihak pengurusan bank tersebut akan meneliti perkara ini.
“(Kerana) apabila terdapat tahap kelulusan tertentu dengan jumlah dan had tertentu, maka proses kelulusan akan menjadi lebih pantas dan PKS akan mendapat manfaat,” katanya.
Selain itu, Abang Johari turut menggesa Affin Bank untuk menyediakan pembiayaan bagi rakyat yang ingin memiliki rumah kedua di Sarawak.
“Biayalah mereka yang ingin membeli rumah, bukan (rakyat) di London, tetapi di Kuching. Berikan kemudahan pembiayaan kepada mereka.
“Pembeli dari Indonesia, termasuk pelajar yang sedang belajar di Swinburne atau Curtin, mungkin mahu memiliki rumah kedua di sini.
“Jadi, biayalah mereka. Dengan itu, pemaju hartanah juga akan mendapat manfaat,” katanya sambil memberitahu usaha itu adalah sebahagian daripada strategi mikroekonomi negeri ini.
Beliau yakin dengan kestabilan politik di Sarawak dan dasar mesra perniagaan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, ia akan terus menarik pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi, serta menguntungkan semua pihak termasuk institusi perbankan seperti Affin Bank.
Terdahulu, Presiden dan CEO Kumpulan Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali dalam ucapannya memberitahu, Affin Bank akan membuka enam lagi cawangannya di lokasi strategik di Sarawak menjelang Julai tahun ini.
Katanya, penambahan enam bank itu akan menjadikan kesemuanya 14 cawangan di Sarawak.
Menurutnya, langkah ini sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memperluaskan perkhidmatan dan mengukuhkan kehadirannya di negeri ini.
“Komitmen kami adalah untuk melayani semua segmen, daripada pengguna individu hingga korporat dan PKS, dengan perkhidmatan kewangan kami yang telah mendapat pengiktirafan,” katanya.
Wan Razly turut memaklumkan bahawa bank itu menyasarkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 12 peratus di Sarawak tahun ini, susulan peningkatan 10 peratus pada 2024 yang menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman mencecah RM3.2 bilion.
Untuk rekod, Sarawak kini merupakan rakan strategik terbesar dalam Affin Bank Berhad selepas mengambil alih pegangan saham 31.25 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) Kerajaan Sarawak bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad pada 27 September tahun lalu.
|