
Abang Johari (lima kanan) bersama para kenamaan semasa melakukan upacara 'Yee Sang' pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Sibu, hari ini.
SIBU: Pembinaan satu jambatan dari pusat bandar ini (Kampung Hilir/Simpang Tiga) ke kawasan Tebing Barat Sibu (Sungai Bidut) mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, beliau mengarahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang untuk menubuhkan Jawatankuasa Tugas bagi mengetuai rancangan pembinaan jambatan tersebut.
"Tadi, Kevin Lau (Ketua Pemuda SUPP Pusat) mencadangkan pembinaan satu jambatan menghubungkan bandar Sibu ke kawasan Tebing Barat Sibu.
“Saya tanya berapa panjang jambatan, dia cakap anggarannya dalam 400 meter sahaja.
"Kalau sepanjang itu, tiada masalah kerana banyak jambatan-jambatan besar yang kita bina di negeri ini lebih panjang daripada itu. Mana ada negeri di Malaysia ini membina sebanyak 16 jambatan sekali gus kerana kita buat apa yang kita cakap (janji).
"Oleh itu, Dr Annuar dan Michael Tiang boleh mengetuai jawatankuasa tugas tentang perkara ini untuk melihat pelaksanaannya," katanya berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurutnya, pembinaan jambatan yang menyeberangi Sungai Igan itu akan membolehkan kawasan seberangnya dibangunkan.
"Idea baharu, cara berfikir baharu dan orang ramai mesti memberi sokongan (terhadap pembinaan jambatan ini).
“Itulah sebabnya saya boleh katakan di sini, saya mahu dua pemimpin (termasuk Michael Tiang) dari Sibu, Dr Annuar kerana dia dekat dengan kampung, Kampung Hilir kemudian buat jambatan merentasi ke sebelah sana.
"Dari sebelah sana, ada jalan yang akan menghala ke Mukah. Maksudnya, kita membuka kawasan pedalaman yang baharu.
“Kemudian, jalan itu akan menyambung ke bahagian Sibu. Dan kemudian, ia akan jadi cantik. Jangan kalah dengan Bintulu.
“Anda tahu Bintulu, tengoklah, jambatan macam San Francisco. Jadi untuk jambatan ini kita buat cantik seperti Shanghai," ujarnya.
Dengan adanya jambatan ini, Abang Johari berkata, ia akan membuka lebih banyak lagi aktiviti ekonomi dengan pembukaan tanah khususnya berkaitan dengan aktiviti pertaniah lebih-lebih lagi kerajaan kini menyasarkan bidang keterjaminan makanan.
"Mungkin melalui jawatankuasa tugas itu, Dr Annuar dan Michael Tiang boleh melihat potensi yang ada di kawasan berkenaan untuk kita bangunkan dengan penggunaan tanah untuk aktiviti ekonomi," tambahnya.
Beliau memuji idea yang dicadangkan oleh Kevin Lau ini yang merupakan pelapis SUPP yang mempunyai idea baharu untuk membangunkan Sibu.
"Inilah pemimpin baharu dan pelapis parti yang kita perlukan untuk digilap demi masa depan Sarawak khususnya Sibu," jelasnya.
Terdahulu, Lau yang juga pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan dan pengerusi penganjur majlis tersebut dalam ucapan aluannya mencadangkan agar sebuah jambatan dibina di pusat bandar Sibu ke kawasan Tebing Barat Sibu bagi melonjakkan ekonomi dan pembangunan di kawasan Bawang Assan.
"Saya dengan rendah hati membuat satu permintaan untuk dipertimbangkan supaya satu jambatan boleh dibina untuk menyambung Tebing Barat Sibu dengan Pusat Bandar Sibu dan saya percaya ia akan melonjakkan pembangunan khususnya di kawasan Bawang Assan," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden SUPP merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta isteri Dato Enn Ong, Timbalan Presiden II SUPP merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SUPP merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sebastian Ting, Naib Presiden I SUPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta tetamu kehormat yang lain.
|