Ling tinjau sebuah pengedar PETROS, dimaklumkan masalah bekalan di Miri diatasi dengan baik

Seorang pegawai PETROS menjelaskan perkembangan terkini kepada Ling.
MIRI: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling hari ini melahirkan rasa lega masalah bekalan tong gas LPG di Miri telah berjaya diatasi dengan baik dan terkawal.
Beliau telah meninjau ke salah sebuah pengedar sah PETROS di Tudan dan bertemu dengan pengusaha serta wakil PETROS yang bertugas di situ hari ini dan dimaklumkan masalah bekalan gas LPG di sini, dapat diatasi dengan baik.
"Saya diberitahu bahawa pengedar mengguna pakai sistem nombor giliran untuk mengatasi masalah barisan yang panjang di mana orang ramai terpaksa menunggu di bawah cuaca yang tidak menentu, pengguna yang mendapat nombor akan kembali keesokan hari jam 4 petang untuk membeli gas masing-masing," katanya.
Ling berterima kasih kepada semua pengusaha dan pegawai PETROS dan berharap bekalan dapat pulih dengan sempurna secepat mungkin kerana kesulitan sekarang telah mewujudkan kerisauan dan panik di kalangan masyarakat.
Ling berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada pengguna kerana kerisauan tidak mendapat tong gas sejak seminggu yang lalu, lebih-lebih lagi dengan pembukaan sesi persekolahan pada minggu ini.
"Saya berharap insiden ini merupakan satu pengajaran dan pengalaman untuk PETROS lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan dalam rantaian pengedaran supaya kestabilan dan kelangsungan bekalan berada pada tahap yang mencukupi kerana tong gas merupakan keperluan asas harian bagi rumah dan gerai makanan," tambahnya.
Menurut Ling, sekiranya terdapat kebimbangan tentang pembelian panik dalam pasaran, PETROS sepatutnya segera mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan dan bukannya menunggu sehingga pengguna terpaksa ‘mendedahkannya’ di sosial media.
"PETROS kini memegang monopoli ke atas pengedaran gas di negeri ini dan harus bertindak lebih pantas dan merangka pelan kontigensi yang sempurna untuk mengatasi segala situasi yang tidak diingini ataupun di luar jangkaan.
“Kuasa monopoli ini memberi kewajipan yang berat dan PETROS adalah syarikat kerajaan negeri yang berupaya melakukan dengan lebih baik," tambah beliau.
Ling juga berharap juga peniaga tidak mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga bersubsidi dan pihak penguat kuasa harus peka dan menjalankan pemantauan rapi pada waktu kritikal ini.
|