Antara kereta ynag diconteng oleh kumpulan anti-semitik. - Foto AGENSI
SYDNEY: Kereta dan rumah di Sydney diconteng dengan grafiti anti-semitik, kata polis hari ini, dalam insiden terbaharu yang menyasarkan masyarakat Yahudi di bandar terbesar Australia itu.
Rangkaian serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan kebimbangan dalam komuniti Yahudi negara itu, mengundang kritikan dari Israel dan memberi tekanan kepada kerajaan Perdana Menteri, Anthony Albanese, yang berdepan pilihan raya semula yang perlu diadakan menjelang Mei.
Dalam insiden terbaharu hari ini, polis berkata kenderaan dan kediaman dirosakkan dengan grafiti antisemitik di timur Sydney, kawasan yang mempunyai ramai penduduk Yahudi.
"Lokasi jenayah telah ditetapkan," kata polis dalam satu kenyataan, sehari selepas mereka menggandakan jumlah pegawai kepada 40 orang dalam pasukan khas yang ditubuhkan pada Disember untuk membanteras jenayah anti-Semitisme di negeri paling padat penduduk di New South Wales.
Presiden Lembaga Deputi Yahudi New South Wales, David Ossip, berkata dalam serangan hari ini, kereta dan rumah diconteng dengan ucapan kebencian yang bertujuan mewujudkan rasa cemas dan mengganggu komuniti Yahudi serta merosakkan keharmonian sosial Sydney.
Khamis lalu, grafiti antisemitik diconteng di tiga lokasi termasuk Kolej Gunung Sinai di timur bandar, salah satu lokasi berhampiran insiden awal di bandar yang mempunyai sekitar 5 juta penduduk, yang mana polis mengakui insiden berkenaan jelas satu serangan terancang.
Polis pada Rabu lalu berkata, ereka menemui bahan letupan di dalam sebuah karavan di Sydney yang boleh mencipta gelombang letupan sepanjang 40 meter dan mungkin dirancang untuk serangan yang mengakibatkan kematian ramai dalam kalangan masyarakat Yahudi.
Albanese, yang sebelum ini dikritik oleh gabungan pembangkang konservatif kerana dianggap lemah dalam menghalang jenayah kebencian terhadap Yahudi, berulang kali mengecam antisemitisme, dengan menegaskan tiada tempat untuk kumpulan itu dalam komuniti pelbagai budaya yang bertoleransi di Australia.
Australia menyaksikan peningkatan insiden antisemitik dan Islamofobia sejak serangan pejuang Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023 dan Israel melancarkan perang di Gaza.
https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2025/02/1356987/insiden-anti-semitik-meningkat-di-sydney