MANDELA
KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyelar kenyataan Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking yang menyalahkan kelemahan penyelenggaraan perparitan sebagai punca utama banjir kilat, khususnya di Penampang.
Ketua Pemuda GRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun, menyifatkan kenyataan Darell itu sebagai sesuatu yang ironi kerana secara tiba-tiba menjadi ‘pakar’ setelah hampir sedekad menjadi wakil rakyat di Penampang.
“Ia sesuatu yang ironi bahawa Darell selaku ADUN Moyog, secara tiba-tiba menjadi ‘pakar’ mengenai masalah banjir di Penampang sedangkan hampir sedekad beliau gagal mengatasi isu ini.
“Dia sepatutnya mengambil langkah itu ketika menjadi Ahli Parlimen Penampang dari 2013 hingga 2022, termasuk ketika beliau menjadi menteri persekutuan dari 2018 hingga 2020,” katanya.
Namun, katanya, sekarang, dia mendakwa kelemahan penyelenggaraan perparitan sebagai punca utama banjir kilat dan beliau meminta tindakan segera kerajaan GRS-PH Plus.
“Namun, saya mahu tanya soalan yang mudah, apa dia lakukan ketika berkuasa? Selama 10 tahun, rakyat Penampang dan Moyog memberi kepercayaan menerusi mandat kepadanya.
“Bagaimanapun, dia lebih banyak menghabiskan masa bermain politik, membuat alasan dan menuding jari berbanding memberi fokus terhadap penyelesaian yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjawab kenyataan Darell hari ini berhubung punca banjir kilat di Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Sepanggar yang didakwa disebabkan ketiadaan pemantauan, pembersihan dan penyelenggaraan berjadual terhadap sistem perparitan.
Mandela berkata ketika menjadi Ahli Parlimen Penampang sebelum ini, Darell tidak meminta dana daripada kerajaan persekutuan untuk menaik taraf sistem perparitan di Penampang.
“Adakah dia menggunakan pengaruhnya sebagai menteri persekutuan untuk memastikan pelan pencegahan banjir dilaksanakan? Tidak. Adakah dia berjuang untuk rakyat di kawasannya ketika dia ada kuasa? Jelas tidak.
“Sekarang dia sudah tidak berada di Parlimen, dia secara tiba-tiba berpura-pura mengambil berat – tapi di mana kesegeraannya apabila dia sebenarnya ada kuasa untuk bertindak?
“Jika Warisan benar-benar komited kepada rakyat, kenapa Darell tidak melobi dana persekutuan melalui hubungan kementerian partinya?
“Berbanding mengambil tindakan, dia berterusan menulis kenyataan akhbar menyalahkan pihak lain dan mengabaikan tugasnya sebagai ADUN Moyog,” katanya.
Sementara itu, Mandela berkata, berbanding Darell, Ahli Parlimen Penampang sekarang, Datuk Ewon Benedick bekerja tanpa mengira penat untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan bertahun lamanya berikutan kegagalan Warisan.
Katanya, sejak memulakan tugas, Ewon giat mencari jalan penyelesaian banjir bersama pihak berkuasa yang berkaitan, sesuatu yang Darell gagal laksanakan sepanjang 10 tahun sebagai Ahli Parlimen Penampang.
“Kerajaan GRS-PH Plus kekal fokus menyampaikan keputusan, bukan membabitkan diri dalam permainan menyalahkan yang tiada kesudahan seperti Darell.
“Pencegahan banjir memerlukan perancangan jangka panjang, usaha yang nyata dan kepemimpinan bertanggungjawab, bukan sandiwara untuk menarik perhatian media.
“Berbanding menyerang mereka yang sebenarnya bekerja, Darell sepatutnya mengambil tanggungjawab atas kegagalannya dan tanya dirinya kenapa selepas beberapa tahun ini, masalah yang sama masih tidak selesai di bawah pemerhatiannya.
“Rakyat Penampang dan Moyog layak mendapatkan yang lebih baik daripada seorang pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya untuk menuding jari.
“Jika Darell tidak boleh memenuhi tanggungjawabnya sebagai ADUN Moyog, mungkin sudah tiba masanya untuk beliau ke tepi dan memberi laluan kepada pemimpin sebenar mengambil alih, pemimpin yang bekerja, bukan hanya bercakap,” katanya.
|