PENGHARGAAN: Musa (empat kiri) menerima cenderamata daripada Sabin (tiga kiri).
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa komited dalam memperkukuh pelaksanaan program bandar lestari.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, ekspektasi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu semakin mencabar dan sentiasa memerlukan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien.
"Inisiatif bandar hijau, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan kawasan rekreasi hijau serta penambahbaikan sistem perparitan dan pengangkutan awam adalah antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan Kota Kinabalu terus menjadi bandaraya maju serta mampan.
"Selain itu, DBKK turut menumpukan pelaksanaan inisiatif bandar pintar dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan penyampaian perkhidmatan.
"Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pelbagai aspek perancangan dan pengurusan bandar, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kualiti hidup penduduk.
"Komitmen ini jelas mencerminkan kesungguhan DBKK dalam merealisasikan pembangunan yang lebih mampan, selari dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya pintar, moden dan berdaya saing di peringkat global," katanya ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu yang diadakan di Pekarangan Bangunan DBKK di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, DBKK juga sedang giat melaksanakan program yang dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, antaranya adalah termasuk kempen penanaman pokok, pengurangan penggunaan beg plastik dan amalan kitar semula.
"Dari segi usaha memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan, DBKK juga mengambil pelbagai inisiatif dari segi pemeliharaan warisan sejarah, penganjuran festival kebudayaan, serta mempromosi produk tempatan turut diperhebat bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
"Kesemua langkah ini bukan sahaja membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi bandar, malah memperkukuh identiti Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang progresif, lestari, dan menarik untuk dikunjungi serta didiami," katanya.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang juga Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Fauzi Md Isa.
Terdahulu, turut diadakan Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu yang dihadiri lebih 2,000 kakitangan DBKK.
|