![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250202/fw1272252kl3808122022musimhujan-scr.jpg)
Gambar hiasan
KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Sarawak berkuat kuasa 4 hingga 5 Februari ini (Selasa hingga Khamis).
Ketua Pengarah MET Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam satu kenyataan berkata amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan turut dikeluarkan berkuat kuasa 4 hingga 7 Februari 2025.
“Analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukan luruan monsun dijangka berlaku pada 4 hingga 7 Februari 2025. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan itu, METMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Sarawak berkuat kuasa pada 4 hingga 5 Februari 2025.
“Manakala Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa pada 4 hingga 7 Februari 2025,” katanya.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih, tambahnya.
|