Penduduk gesa diadakan dialog dengan Pejabat Premier cari penyelesaian adil dan memuaskan
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250202/myy-ub020225-cc-pendudukbantah-p1.jpeg)
Zamir (duduk di hadapan, tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media di Miri semalam. Turut hadir ialah Penghulu Samat Alip, juga dari Kampung Lereng Bukit.
MIRI: Penduduk Kampung Lereng Bukit di sini menyuarakan bantahan terhadap cadangan memindahkan kampung itu seperti yang dinyatakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lalu.
Sebaliknya, penduduk menggesa supaya diadakan dialog terbuka dengan pihak Pejabat Premier Sarawak untuk mencari penyelesaian yang adil dan memuaskan, berhubung isu tanah runtuh yang menyelubungi mereka sejak insiden berlaku 28 Januari lalu.
Jurucakap penduduk kampung itu, Zamir Reza Wan Salim berkata, penduduk melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Premier Sarawak itu, seperti yang dilaporkan dalam berita pada Jumaat berhubung rancangan memindahkan penduduk ke lokasi lebih selamat.
"Bagi penduduk di sini, kami kecewa dengan kenyataan yang dibuat tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kami.
"Kampung Lereng Bukit telah wujud sejak 1920 dan 95 peratus penduduknya adalah Melayu Islam manakala penduduk selebihnya terdiri daripada Cina, Sikh serta masyarakat Bumiputera yang lain," katanya.
“Kami mengemukakan petisyen yang ditandatangani penduduk yang menentang keras cadangan pemindahan kampung kami,” jelas Zamir pada sidang media yang diadakan di kampung itu hari ini.
Beliau turut menjelaskan kenyataan seorang individu dalam laporan berita itu yang dipetik sebagai berkata "pindahkan ajak kamek tok", yang menurut beliau, telah menimbulkan salah faham dan memberi gambaran bahawa semua penduduk di situ bersetuju untuk berpindah.
Tegasnya, kenyataan individu berkenaan tidak mewakili majoriti penduduk kampung.
"Walaupun kami mengakui kepentingan aspek keselamatan, kami percaya memindahkan seluruh kampung bukanlah penyelesaian terbaik. Kajian yang lebih teliti dan pendekatan yang adil perlu dilaksanakan.
"Bukan semua kawasan Kampung Lereng Bukit terjejas akibat tanah runtuh. Kita dapati hanya kawasan tertentu sahaja yang berisiko, manakala sebahagian lagi selamat.
“Justeru, cadangan memindahkan semua penduduk tanpa menilai keadaan sebenar adalah (dianggap) tergesa-gesa dan tidak wajar," tambahnya.
Justeru katanya, penduduk menggesa kerajaan menjalankan kajian teknikal secara menyeluruh bagi mengenal pasti kawasan di kampung yang benar-benar dianggap berisiko tinggi.
Selain itu, Zamir berkata penduduk mencadangkan langkah-langkah mitigasi seperti pembinaan tembok penahan, tetulang cerun dan penambahbaikan sistem perparitan dilaksanakan sebelum sebarang pemindahan besar-besaran dipertimbangkan.
“Penempatan semula seluruh kampung bukanlah penyelesaian yang adil. Kami menyeru kerajaan membangunkan pelan penempatan semula bersasar untuk mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi sahaja tanpa menjejaskan keseluruhan penduduk kampung.
"Kami juga merayu dialog terbuka antara kerajaan, penduduk Kampung Lereng Bukit dan pihak berkuasa berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik," katanya sambil menambah bahawa mereka telah menghantar e-mel ke Pejabat Premier Sarawak pada Jumaat berhubung perkara itu.
Semasa lawatannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit di sini pada Jumaat, Abang Johari memberitahu sidang media bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk memindahkan Kampung Lereng Bukit yang terdedah kepada risiko tanah runtuh di bawah Program Penempatan Semula Kampung.
Beliau berkata, penduduk kampung akan dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat dengan kemudahan infrastuktur yang sesuai dan selesa, termasuk perkhidmatan bas percuma ke kawasan mereka.
Kejadian tanah runtuh yang pertama berlaku pada pagi 28 Januari tidak mengorbankan nyawa sebaliknya hanya menjejaskan beberapa kediaman di Kampung Lereng Bukit.
Namun kedua pada awal pagi 29 Januari, telah mengorbankan lima nyawa dalam sebuah keluarga, termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun.
Kampung ini mempunyai 202 rumah dengan kira-kira 800 penduduk kampung dan insiden yang berlaku minggu lalu merupakan tragedi (tanah runtuh) yang keempat pernah berlaku di Kampung Lereng Bukit.
|