![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250202/srk-ub020225-ks-jalan-2.jpg)
Jalan baharu yang menghubungkan Kampung Tuie ke Suri sepanjang Sembilan kilometer kini telah siap sepenuhnya.
DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam memaklumkan bahawa projek jalan baharu yang menghubungkan Kampung Tuie ke Suri sepanjang sembilan kilometer kini telah siap sepenuhnya.
Katanya, projek infrastruktur itu telah memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
"Jalan yang telah dibina dengan kos RM35 juta ini diumumkan oleh Premier Sarawak pada tahun 2018 sebagai projek rakyat untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.
"Selain itu, terdapat beberapa peruntukan tambahan bagi kerja-kerja baik pulih jalan sedia ada terutama untuk Kampung Tuie.
"Kerja-kerja ini bertujuan menghubungkan jalan baharu yang telah siap dibina dengan jalan-jalan utama di kawasan tersebut," kata Razi.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media bagi mengulas berkaitan projek-projek yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas hari ini.
Menurut Razi, projek tersebut juga dijangka dapat menyelesaikan masalah akses yang sebelum ini menjadi cabaran besar kepada para penduduk kawasan tersebut.
Tambahnya, penyiapan jalan baharu itu dapat memendekkan jarak perjalanan penduduk dari Kampung Medang, Kampung Supa, Kampung Serabang dan Kampung Tuie ke daerah kecil Debak.
"Ini tentunya akan memudahkan pergerakan penduduk, memendekkan masa perjalanan serta memberi kemudahan dalam urusan harian mereka.
"Kemudahan jalan yang lebih baik ini dijangka akan merancakkan lagi ekonomi setempat, terutama melalui peningkatan akses kepada pasaran untuk produk tempatan.
“Dengan jalan yang lebih baik dan lebih cepat, produk-produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan dan barang keperluan lain akan lebih mudah dijual ke kawasan yang lebih luas dan ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk di sini untuk meningkatkan pendapatan dan memperkasa ekonomi mereka," tegasnya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut berkata, projek jalan yang telah siap dibina ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi mobiliti dan akses, tetapi juga menjanjikan manfaat jangka panjang untuk pembangunan kawasan luar bandar di sekitar daerah Saribas.
Selain itu katanya, jalan yang lebih baik akan memudahkan penduduk di kampung-kampung terlibat untuk berurusan dengan pusat perkhidmatan kerajaan, hospital, sekolah serta aktiviti yang lain.
"Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan YAB Premier Sarawak terus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama di kawasan luar bandar, melalui projek-projek pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
"Kemudahan infrastruktur ini juga, bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi turut memberi harapan dan peluang baharu untuk kemajuan ekonomi di kawasan tersebut.
"Kerajaan akan terus memastikan kemudahan dan pembangunan di kawasan Saribas dapat diteruskan dengan lebih mampan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat," tegasnya.
|