|
Chef terkenal dari New Zealand, Andy Hearnden, baru-baru ini membuat uji rasa tiga hidangan nasi goreng ikonik dari seluruh dunia, dan hasilnya, Nasi Goreng Kampung muncul sebagai pemenang.
Dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya, Andy Cooks, chef yang dikenali dengan gaya masakan yang mudah dan autentik ini membandingkan Nasi Goreng Kampung Malaysia, Arroz Chaufa dari Peru, dan Cơm Chiên dari Vietnam.
Dalam tempoh 9 minit 55 saat, Andy menyediakan setiap hidangan dari awal, mengikut resipi asli, sebelum mencuba dan memilih pemenang dan Nasi Goreng Kampung Malaysia mencuri perhatiannya.
Andy memuji hidangan ini kerana gabungan rasa yang berani namun seimbang, dengan kepedasan yang tepat dan tekstur rangup dari ikan bilis goreng.
Beliau juga menyatakan bahawa hidangan ini menjadi lebih istimewa apabila dihidangkan bersama telur mata kerbau.
“Wow, ini sangat sedap! Kepedasannya mengagumkan, rasa yang sangat kuat, dengan kuning telur yang berkrim, saya tak boleh berhenti makan,” kata Andy dengan penuh semangat.
“Daripada tiga hidangan nasi goreng ini, Nasi Goreng Kampung adalah pemenang bagi saya. Ia pedas dan mempunyai tekstur yang baik dari ikan bilis goreng,” tambahnya.
Sebagai seorang yang sebelum ini pernah memuji nasi goreng dari Korea dan Thailand, keputusan Andy untuk meletakkan Nasi Goreng Kampung Malaysia dalam senarai kegemarannya adalah satu pencapaian besar bagi masakan Malaysia.
Netizen Malaysia Bangga
Tidak lama selepas video itu dimuat naik, ramai rakyat Malaysia yang menonton video tersebut terus membanjiri ruangan komen dengan rasa bangga dan gembira. Ramai yang meluahkan kegembiraan melihat hidangan yang dekat di hati mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ada juga yang memberikan “tip pro” dengan bergurau, “Kalau tukang masak tak bersin semasa menumis pes rempah, itu bukan Nasi Goreng Kampung yang autentik!”
Nasi Goreng Budaya Malaysia
Nasi Goreng adalah salah satu hidangan ikonik dalam masakan Malaysia yang mempunyai akar sejarah yang kaya dan mencerminkan budaya serta kehidupan masyarakat Melayu tradisional.
Nama nasi goreng “kampung” merujuk kepada suasana desa atau luar bandar, di mana hidangan ini sering disediakan dengan bahan-bahan mudah yang terdapat di kawasan perkampungan.
Terdiri daripada bahan tradisi masakan Melayu yang mengutamakan penggunaan bahan-bahan tempatan seperti ikan bilis, cili, bawang, dan rempah-ratus.
Hidangan ini mencerminkan kehidupan sederhana masyarakat kampung yang menggunakan sumber alam sekitar untuk menyediakan makanan yang enak dan berkhasiat.
|
|