Foto hiasan
BANGKOK: Sebanyak 436 kematian dan 2,376 kecederaan direkodkan dalam 2,467 kemalangan jalan raya di Thailand pada musim tahun baharu dari 27 Disember tahun lalu hingga kelmarin, menurut data rasmi semalam, lapor Xinhua.
Tempoh perjalanan berisiko tinggi selama 10 hari itu menyaksikan penurunan jumlah kemalangan dan kecederaan, manakala angka korban pula meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Songsak Thongsri.
Sepanjang kempen keselamatan jalan raya itu, Bangkok mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 26 mangsa, kata Songsak pada sidang media.
Katanya, punca utama kemalangan itu ialah memandu laju dan memotong kenderaan di hadapan, manakala motosikal terbabit dalam kebanyakan insiden.
Justeru, beliau menekankan perlunya usaha bersepadu antara sektor berkaitan untuk proaktif mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat secara berterusan sepanjang tahun.
Kerajaan Thailand berhasrat mencapai sasaran nasional untuk mengurangkan kadar kematian jalan raya kepada 12 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2027.
Januari 7, 2025 sumber
|