GAMBAR hiasan. FOTO Agensi.
Jakarta: Biarpun Polis Gowa, Sulawesi Selatan berjaya membongkar rangkaian pembuat dan pengedar wang palsu di Alauddin Makassar, wang berkenaan semakin banyak ditemui orang ramai.
Penemuan wang palsu semakin meluas sama ada diperoleh daripada peniaga mahupun daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Berkongsi pengalamannya, seorang pengguna X @azamuddin91 berkata, dia mahu membayar ubat di farmasi, namun juruwang menolak kerana wang itu didapati palsu.
"Saya pernah beli ubat di farmasi, staf tanya ada duit lain ke?
"Saya tanya kenapa? Dia kata duit itu palsu. Kemudian saya beri lagi 50 ribu dan juruwang itu menerimanya," katanya dalam laporan Abatanews.
Katanya, dia agak pelik kerana semua wang dalam dompetnya dikeluarkan dari mesin ATM sama.
Perkongsian lelaki itu menarik perhatian ramai netizen untuk mengulasnya.
Malah, ada antara mereka berkongsi mengalami perkara sama.
Pengguna akaun @haloaku08 mendakwa, ibunya mendapat wang palsu daripada juruwang bank.
Ada juga netizen yang mendakwa telah mengeluarkan wang di salah sebuah ATM bank itu.
Kemudian, buat pembayaran di ATM bank lain.
"Saya ambil dari ATM Bank B terus bayar bil.
"Ada lagi, saya masukkan semula ke ATM Bank B. Duit terus ditolak," kata pengguna akaun @mario_an19.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan Inspektor Jeneral Yudhiawan Wibisono mengakui, peredaran wang palsu amat sukar dikawal kerana ia dicetak sejak 2012 hingga 2024.
"Kami tidak boleh mengawal lagi wang ini dalam edaran dan jika didapati di lapangan, ia tidak boleh ditukar kerana wang itu palsu," katanya ketika mengeluarkan Nota Akhir 2024 untuk Kepolisian Daerah Sulawesi Selatan di Balai Mappaodang Kapolres Katanya, cabaran lain adalah keadaan wang palsu sindiket UIN Alauddin Makassar hampir sempurna dan menyerupai wang sebenar kerana wang palsu yang dihasilkan juga mempunyai watermark Bank Indonesia.
Disiarkan pada: Januari 6, 2025
|