Dua lagi bot sarat pendatang Rohingya dipintas Maritim Malaysia di Langkawi
Oleh Wartawan BH - Januari 4, 2025 @ 6:01pm [email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhbot05_1735985690.jpg)
Tangkap layar video tular menunjukkan satu daripada bot sarat pendatang Rohingya dipintas Maritim Malaysia di perairan Langkawi hari ini.
ALOR SETAR: Dua bot kayu sarat penumpang disyaki etnik Rohingya dipintas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menceroboh perairan Langkawi hari ini.
Penahanan itu adalah kali kedua dalam tempoh dua hari selepas polis menahan sekumpulan 196 etnik Rohingya di Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat awal pagi semalam.
Video berdurasi 10 saat memaparkan sebuah bot peronda Maritim Malaysia berlabuh berhampiran dua bot kayu yang sarat dengan penumpang dan tular di media sosial sejak jam 4 petang tadi.
Bagaimanapun, Maritim Malaysia enggan mengulas dan meminta menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan agensi berkenaan.
Berdasarkan video yang dilihat oleh Berita Harian, dua bot terbabit sama seperti bot yang terkandas di Pantai Teluk Yu awal pagi semalam, yang membawa kepada penahanan 196 pendatang tanpa dokumen sah.
Media semalam melaporkan, Maritim Malaysia melancarkan operasi bagi mengesan saki-baki pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dipetik berkata, operasi GUARD Bilangan 4/2025 diaktifkan susulan laporan mengatakan dua lagi bot dipercayai membawa PATI berada di laut.
Untuk rekod, sejumlah 2,089 PATI Myanmar serta 18 bot ditahan Maritim Malaysia dan agensi penguat kuasa lain dari tahun 2010 hingga 2024 ketika cuba masuk ke negara ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1344948/dua-lagi-bot-sarat-pendatang-rohingya-dipintas-maritim-malaysia-di
|