POLIS dan penyiasat antirasuah tiba di kediaman rasmi presiden Korea Selatan yang dipecat Yoon Suk Yeol pada 3 Januari 2025. FOTO Yonhap/ AFP
Seoul: Semalam, penyiasat berjaya melepasi penunjuk perasaan dan penghadang polis tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan dalam usaha untuk menangkap Presiden Yoon Suk Yeol.
Jadi siapa yang masih melindungi Yoon?
Ditubuhkan pada 1963, Perkhidmatan Keselamatan Presiden atau PSS di Korea Selatan adalah setara dengan Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat - yang ditugaskan untuk melindungi pemimpin tertinggi negara.
Perkhidmatan itu merekrut anggotanya daripada polis, tentera dan agensi perisikan, tetapi presiden memilih siapa yang mengendalikannya.
Ketua PSS pertama untuk Yoon ialah rakan sekolahnya, Kim Yong-hyun, yang kemudiannya menjadi menteri pertahanannya.
Kim kini ditahan atas peranannya berhubung tindakan Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera, tetapi tetap setia kepada presiden itu walaupun kini ditahan di penjara.
Semasa mengendalikan PSS, Kim dilaporkan memberikan skuad elit, Komando Pertahanan Ibu Kota - di mana dia pernah berkhidmat sebagai komander - dengan satu-satunya tanggungjawab untuk menjaga perimeter pejabat presiden.
Secara tradisinya di Rumah Biru - kediaman rasmi yang Yoon enggan berpindah masuk ke situ pada 2022 - polis juga terbabit dalam keselamatan presiden.
Tentera adalah orang pertama yang menghalang penyiasat daripada mendapatkan Yoon.
Komando Pertahanan Ibu Kota "adalah unit yang serupa dengan Pengawal Diraja United Kingdom," kata Kim Ki-ho, bekas kolonel tentera yang mengajar di Universiti Kristian Seoul, kepada AFP.
Tentera mempunyai "rantaian perintah yang ketat," katanya, dan harus mematuhi PSS dan tidak mendengar arahan polis dan penyiasat yang cuba mendapatkan Yoon.
"Jika mereka diarahkan untuk memberikan perlindungan, mereka tidak mempunyai pilihan selain mematuhinya," kata Kim.
PSS pada kemuncak kuasanya di bawah rejim tentera pada 1970-an, mempunyai kuasa yang besar di bawah presiden ketika itu, Park Chung-hee.
Kekuatannya malah menjadi faktor dalam perebutan kuasa dalaman yang memuncak dengan pembunuhan Park oleh ketua perisikannya pada 1979.
Selepas insiden itu, PSS dilihat 'hilang taring', tetapi ia masih diberikan kuasa menyeluruh oleh Akta Keselamatan Presiden, dalam memastikan keselamatan presiden.
Semalam, PSS menggunakan kuasa ini apabila ia menyekat kemaraan pasukan penyiasat di kawasan kediaman rasmi presiden.
Disiarkan pada: Januari 4, 2025
|