Kelihatan kenderaan pasukan keselamatan mengiringi trak kontena dari tapak kilang racun perosak yang terletak di ibu negeri Madhya Pradesh, India, menuju ke loji pelupusan di Pithampur, kira-kira 230 kilometer (km) dari lokasi. FOTO X/tangkap layar video @thetatvaindia
New Delhi: Selepas 40 tahun tragedi gas terburuk dunia di Bhopal yang mengorbankan lebih 20,000 nyawa, sebanyak 337 tan metrik sisa toksik dari tapak kilang Union Carbide akhirnya dibawa keluar untuk pelupusan.
Independent melaporkan konvoi trak kontena memulakan perjalanan pada malam Rabu dari tapak kilang racun perosak yang terletak di ibu negeri Madhya Pradesh, India, menuju ke loji pelupusan di Pithampur, kira-kira 230 kilometer (km) dari lokasi.
Kejadian malang pada malam 2 Disember 1984 berlaku apabila gas toksik bocor dari kilang di Bhopal mengorbankan puluhan ribu nyawa serta meracuni lebih setengah juta orang dengan aktivis mendakwa angka kematian sebenarnya jauh lebih tinggi daripada laporan rasmi.
Pengarah Jabatan Bantuan dan Pemulihan Tragedi Gas Bhopal, Swatantra Kumar Singh berkata, untuk proses pelupusan itu membabitkan konvoi disertai 12 trak kontena dan perjalanan dijalankan tanpa henti selama tujuh jam di bawah kawalan keselamatan ketat.
"Sebanyak 700 anggota keselamatan dikerahkan, manakala laluan khas turut disediakan bagi memastikan sisa berbahaya itu sampai dengan selamat ke kawasan industri Pithampur," katanya.
Proses memuatkan bahan toksik itu ke dalam trak melibatkan hampir 100 pekerja yang bertugas selama empat hari.
Setiap pekerja diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan diberi masa rehat setiap 30 minit untuk mengelakkan sebarang insiden kesihatan.
Swatantra Kumar berkata, pelupusan sisa dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan melalui kaedah saintifik.
Namun, pelupusan sisa itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Pithampur, sebuah bandar kecil berhampiran Dhar.
Ahad lalu, pekerja kilang di kawasan itu mengadakan perarakan protes, menyuarakan kebimbangan terhadap kesan sisa toksik terhadap kesihatan dan keselamatan mereka.
"Ramai pekerja meminta cuti kerana takut terdedah kepada bahan berbahaya ini," lapor media tempatan.
Aktivis, Rachna Dhingra, yang memperjuangkan hak mangsa tragedi gas Bhopal mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang membenarkan sisa itu dibawa keluar ke tempat lain.
"Kenapa syarikat Union Carbide dan Dow Chemical tidak dipertanggungjawabkan untuk membersihkan sisa toksik ini di Bhopal sendiri? Melupuskannya di kawasan lain hanya berisiko mencemarkan sumber air di sana," katanya.
Tragedi gas Bhopal bermula pada 1969 apabila kilang Union Carbide mula beroperasi sebagai simbol perindustrian India.
Namun, malapetaka pada 1984 merosakkan reputasi kilang yang sebelum ini menjadi harapan kepada golongan miskin untuk peluang pekerjaan.
Pada 1989, syarikat Union Carbide membayar pampasan sebanyak 367 juta pound sterling (kira-kira RM2 bilion) kepada kerajaan India.
Namun, tekanan terus meningkat terhadap Dow Chemical, syarikat yang kini memiliki Union Carbide, untuk membayar pampasan tambahan kepada mangsa yang masih menderita akibat kesan tragedi itu.
Tragedi itu terus menjadi pengajaran besar mengenai kepentingan tanggungjawab sosial korporat, khususnya dalam menangani impak pencemaran industri terhadap manusia dan alam sekitar.
Disiarkan pada: Januari 3, 2025
|