FOTO HIASAN
New Delhi: Seorang lelaki India sanggup memotong empat jari tangannya sendiri kerana terlalu takut untuk memberitahu bosnya bahawa dia sebenarnya mahu berhenti kerja.
Oddity Central melaporkan lelaki berusia 32 tahun dari Gujarat, Mayur Tarapara, mengaku kepada polis bahawa dia mencederakan dirinya sendiri kerana tidak mahu terus bekerja sebagai operator komputer di syarikat milik saudaranya.
Mayur mendakwa bahawa dia 'terbabit kemalangan' ketika menunggang motosikal ke rumah rakannya.
Menurut ceritanya, dia tiba-tiba berasa pening dan pengsan di tepi jalan, sebelum bangun dan mendapati empat jarinya dipotong.
Pada mulanya, pihak polis menyangka jari lelaki itu dicuri untuk ritual ilmu hitam.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati cerita Mayur penuh dengan percanggahan dan bukti-bukti yang mencurigakan.
Kes itu mula dilaporkan di Balai Polis Amroli di Surat sebelum dipindahkan ke Cawangan Jenayah bandar itu. Polis kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang didakwa tempat kejadian, tetapi tiada bukti menyokong cerita Mayur.
Dalam rakaman CCTV, Mayur dilihat meletakkan motosikalnya dengan tenang sebelum berjalan pergi dan kembali dengan tangannya cedera.
Tiada saksi yang melihat dia pengsan di tepi jalan seperti yang didakwanya.
Selepas didesak polis supaya memberitahu cerita sebenar, Mayur akhirnya mengaku bahawa dia sendiri yang memotong empat jarinya. Dia memberitahu polis bahawa dia membeli pisau tajam di sebuah kedai sebelum melaksanakan rancangannya itu.
Menurut pegawai polis, Mayur menggunakan pisau itu untuk memotong empat jarinya di kawasan Amroli Ring Road, kira-kira 10 malam, pada hari kejadian.
Dia turut mengikat tali pada lengannya untuk menghentikan pendarahan sebelum membuang pisau dan jarinya ke dalam beg.
Mayur mendedahkan bahawa dia sangat tertekan dengan kerjanya di kilang berlian milik saudaranya tetapi tidak berani memberitahu bahawa dia mahu berhenti.
Jadi memotong jarinya akan membuatnya tidak layak lagi untuk terus bekerja di sana.
|