Gambar edaran Polis Nasional Filipina (PNP) Wilayah Bicol menunjukkan sebuah dron kapal selam yang disyaki milik China ditemui oleh nelayan di luar pantai San Pascual, wilayah Masbate, Filipina. - Foto AFP
MANILA: Sebuah dron kapal selam yang disyaki milik China ditemui di luar pesisisr pantai berhampiran wilayah tengah Filipina, menurut polis pada Khamis, sambil memberi amaran mengenai 'berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan negara'.
Tiga nelayan menemukan dron tersebut pada Isnin, kira-kira sembilan kilometer (km) dari pantai San Pascual di wilayah Masbate, menurut laporan polis.
Filipina dan China telah lama bertelagah mengenai hak maritim di Laut China Selatan membabitkan pemilikan terumbu karang serta pulau kecil di perairan yang dipertikaikan.
China menuntut hampir keseluruhan kawasan laut itu, sama sekali mengetepikan tuntutan bertindih daripada negara lain dan keputusan antarabangsa yang menyatakan bahawa tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.
Dron berwarna kuning yang bertanda 'HY-119' ditemui terapung di laut sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa, kata pengarah polis wilayah, Andre Dizon, kepada AFP.
Ia berukuran kira-kira dua meter panjang dan berbentuk torpedo dengan sirip.
"Berdasarkan penyelidikan sumber terbuka kami di internet... HY-119 merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah air milik China.
"Ia mempunyai antena dan kamera yang boleh digunakan untuk melihat. Berdasarkan penyelidikan kami, ia boleh digunakan untuk pemantauan dan peninjauan," kata Dizon.
Tambahnya, dron itu tidak bersenjata, namun laporan polis menyenaraikannya sebagai 'berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan negara' sebagai salah satu kepentingan penemuannya.
Dron itu telah diserahkan oleh polis kepada Tentera Laut Filipina pada Selasa, tambah Dizon manakala Tentera Laut Filipina dan kedutaan China di Manila masih belum memberikan sebarang komen. - AFP
|